Panduan Penjagaan Keselamatan Dan Kesihatan Semasa Banjir
Banjir menimbulkan pelbagai ancaman kepada keselamatan dan kesihatan kepada orang awam amnya dan mangsa banjir khasnya. Adalah penting untuk anda mengenalpasti risiko-risiko yang wujud dan bertindak sewajarnya dalam menhadapi banjir. Berikut adalah panduan dan langkah penjagaan keselamatan dan kesihatan ketika banjir.
Risiko Semasa Banjir
Banjir boleh mendatangkan masalah / bahaya seperti :
- Lemas.
- Terdedah kepada berbagai jenis kecederaan seperti terpijak benda tajam atau terjatuh ke dalam longkang.
- Terkena renjatan elektrik.
- Terdedah kepada jangkitan penyakit seperti kencing tikus, taun, cirit-birit dan demam kepialu.
1. TINDAKAN SEBELUM BANJIR
Berikut adalah panduan tindakan yang perlu anda ambil bila tiba musim banjir (sebelum berlakunya banjir):
Persediaan Sebelum Banjir
- Dapatkan maklumat terkini berkaitan banjir melalui radio, televisyen, media sosial dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
- Pastikan lokasi Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
- Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
- Sediakan kit kecemasan yang mengandungi barangan keperluan seperti air
minuman, alatan kebersihan diri, makanan dalam tin, radio yang menggunakan bateri, power bank, lampu suluh & ubat-ubatan yang diperlukan. - Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
- Pastikan telefon bimbit dalam keadaan baik walaupun di dalam musim hujan.
- Wujudkan pelan komunikasi bagi memastikan perhubungan tidak terjejas sekiranya terputus hubungan.
Sebelum Banjir – Bila Tanda-Tanda Awal Banjir Telah Dikesan
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil jika tanda-tanda awal banjir telah dikesan di kawasan anda.
- Dengar melalui pengumuman radio, televisyen, media sosial atau pihak yang berkenaan.
- Pindahkan perkakas elektrik, perabot atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
- Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
- Bersedia untuk menutup semua suis bekalan elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
- Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.
2. TINDAKAN SEMASA BANJIR
Berikut adalah panduan tindakan yang perlu anda ambil bila berlakunya banjir:
Semasa Banjir – Di Dalam Rumah
- Dengar pengumuman terkini dari agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah melalui radio, televisyen atau media sosial.
- Bersedia dengan kit kecemasan.
- Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.
Semasa Banjir – Di Luar Rumah
- Jauhi tempat-tempat yang dilanda banjir.
- Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
- Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
- Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
- Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
- Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main air banjir, terutamanya di longkang, sungai atau lombong.
- Jangan minum air banjir.
Semasa Banjir – Di Dalam Kenderaan
- Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
- Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.
Semasa Banjir – Di Pusat Pemindahan
Sekiranya anda diarahkan untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir, berikut adalah beberapa tips penjagaan kesihatan ketika berada di sana:
- Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
- Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
- Ikut laluan yang ditentukan, yang berkemungkinan laluan singkat mungkin terhalang.
- Patuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.
- Minum air masak atau air minuman berbungkus seperti air botol sekiranya tiada air bersih.
- Makan makanan yang telah dimasak sahaja. Elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman.
- Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah.
- Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling:
- Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas.
- Guna tandas yang sempurna.
- Buang sampah di tempat yang betul.
- Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah.
3. TINDAKAN SELEPAS BANJIR
Berikut adalah panduan tindakan yang perlu anda ambil selepas banjir:
- Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
- Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
- Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mungkin tidak selamat.
- Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, anda perlu berhati-hati kerana banyak bahaya yang tersembunyi.
Selepas Banjir – Semasa Memasuki Bangunan
- Sentiasa pakai kasut.
- Periksa kerosakan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
- Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang berbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
- Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
Selepas Banjir – Periksa Ancaman Bahaya
- Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
- Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
- Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
- Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
- Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
- Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
- Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
- Buat laporan kepada JKM bagi mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan.
Semoga panduan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan di musim banjir ini berguna untuk semua.