Taiping: Muzium Matang / Kota Ngah Ibrahim

|  2 comments

Kami singgah di Muzium Matang a.k.a Kota Ngah Ibrahim dalam perjalanan pulang ke homestay dari Kuala Sepetang.  Untuk ke sini ambil Jalan Taiping-Kuala Sepetang menghala ke Kuala Sepetang. Kira-kira 10km dari Taiping terdapat satu selekoh tajam ke kanan, kompleks sejarah tersebut berada di sebelah kiri selekoh.

Muzium Matang

Pintu masuk Kompleks Sejarah Matang / Kota Ngah Ibrahim

Muzium Sejarah Matang (yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Kota Ngah Ibrahim) telah dibina oleh Che Ngah Ibrahim pada tahun 1857. Kota ini merupakan pusat pentadbiran dan pertahanan Daerah Larut, dan kediaman rasmi Che Ngah Ibrahim yang merupakan pemerintah Daerah Larut pada waktu itu. Beliau adalah orang paling kaya di Larut dan mewarisi kuasa untuk memerintah daerah Larut dari bapanya Che Long Jaafar. Long Jaafar adalah orang yang mula-mula menemui bijih timah di negeri Perak.

Larut si gajah

Si Larut, gajah bertuah yang menjumpai bijih timah. Ia adalah pet Long Jaafar!

Rumah Ngah Ibrahim dua tingkat dan berada di tengah-tengah kota. Diantara pameran di tingkat bawah adalah mengenai perusahaan bijih timah, replika gajah yang bernama Larut, ahli kongsi gelap dan penjara. Tingkat atas pula terdapat pengenalan kepada tokoh-tokoh, pameran mahkamah, bilik darjah, dan juga bilik tidur Ngah Ibrahim.

Di luar bangunan terdapat makam Ngah Ibrahim, perigi mandian, tugu tentera Jepun serta menara kawalan(utara dan selatan).

lubang pada tembok

Tembok yang mengelilingi kota dilengkapi lubang senapang setiap lima kaki

Rumah Ngah Ibrahim memainkan peranan penting dalam sejarah negeri Perak khususnya dalam permulaan campur tangan Inggeris di Tanah Melayu.  Pada tahun 1876 rumah inilah yang telah dijadikan tempat perbicaraan ke atas pahlawan-pahlawan dan pembesar-pembesar Perak yang telah berkomplot membunuh J.W.W. Birch.

Birch adalah residen British yang pertama di Perak selepas termeterainya Perjanjian Pangkor diantara pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang ditandatangani pada Januari 1874. Birch adalah manifestasi campurtangan Inggeris di Perak, yang didalangi kapitalis Eropah-China dengan mempergunakan Raja Muda Abdullah untuk mengundang campurtangan Inggeris (dek kerana inginkan takhta Perak). Perjanjian Pangkor merupakan prelude kepada penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu.

J. W. W. Birch

James Wheeler Woodford Birch (J. W. W. Birch)

Akhirnya ramai wira negeri Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum dan Pandak Endut. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Laksamana Mohamad Amin pula disingkir ke Pulau Seychelles.

Kota dan rumah Ngah Ibrahim kemudiannya dirampas oleh pihak Inggeris. Pada tahun 1913-1922 rumah Ngah Ibrahim dijadikan Maktab Perguruan Matang. Selepas itu dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu Matang (1913-1941). Semasa Perang Dunia Kedua, ia dijadikan Markas Tentera Jepun (1941-1945). Selepas Jepun menyerah kalah ianya kembali berfungsi sebagai Sekolah Melayu Matang (1945-1984). Pada tahun 1985, kota ini diserahkan kepada Jabatan Muzium Malaysia dan dijadikan Muzium Sejarah Matang.

Kota ngah ibrahim tingkat atas

Salah satu pameran di tingkat atas. Di bahagian belakang kiri ialah bilik tidur Ngah Ibrahim.

makam ngah ibrahim

Jenazah Ngah Ibrahim dipindahkan ke sini pada 2006

Pengajaran: Sebenarnya banyak pengajaran yang kita dapat dengan melawat kota ini. 150 tahun yang lalu Matang merupakan kawasan makmur orang Melayu dan kaya dengan bijih timah. Ketamakan individu membawa bencana kepada semua, selepas Perjanjian Pangkor, Melayu hilang segala.

150 tahun akan datang apa pula yang tertulis dilembaran sejarah? Adakah Melayu akan sekali lagi termakan tipu daya orang putih (dengan TPPA)?


Lokasi Muzium Matang


Hari & Masa Lawatan

  • Isnin - Ahad : 9:00 pagi - 5:00 ptg
  • Jumaat : 9:00 pagi - 12:15 tengahari, 2:45 ptg - 5:00 ptg
  • Masuk percuma

Rujukan: Artikel Arkib Negara

Bacaan berkaitan: Artikel 1, Artikel 2, Artikel 3

2 comments

Denaihati

Denaihati

01 Disember, 2013 11:41
menarik muzium matang ni. banyak yang kita boleh belajar dari sejarah zaman ni.
terima kasih perkongsiannya.
Malaysia Tercinta

Malaysia Tercinta

01 Disember, 2013 12:44
@Balasan Budak-budak sekolah (dan orang-orang dewasa juga) mesti datang sini, baru dapat "feel" sejarah dan kesannya kepada kehidupan hari ini.
Ulasan ditutup