Fakta-fakta Mengenai Ebola Yang Perlu Diketahui
Berdasarkan laporan kronologi wabak Ebola dari Centers for Disease Control and Prevention, Amerika Syarikat, penularan wabak Ebola terbaru (bermula Mac 2014) di Afrika Barat adalah yang paling besar semenjak berlakunya wabak Ebola pertama pada tahun 1976.
Setakat 17/10/2014 wabak terbaru telah meragut 2431 nyawa, berbanding dengan (hanya) 280 kematian pada 1976 di Zaire!
Berikut adalah beberapa fakta mengenai Ebola berdasarkan maklumat dari WHO Ebola Factsheet dan beberapa sumber lain.
Apakah itu Ebola?
Penyakit virus Ebola atau Ebola virus disease (EVD) adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus Ebola. Penyakit ini sering membawa maut, dengan kadar kematian sehingga 90%. Penyakit ini memberi kesan kepada manusia dan juga primat (monyet, gorila dan cimpanzi).
Di manakah Ebola ditemui?
Pada tahun 1976, satu wabak penyakit misteri yang mengerikan melanda dan menyebabkan kematian ramai penduduk kampung Yambuku, Zaire (sekarang Republik Demokratik Congo).
Diantara yang menghidap penyakit misteri tersebut ialah seorang rahib Katolik Belgium (Zaire adalah negara bekas jajahan Belgium) yang bertugas di situ. Sampel darah beliau diambil dan dihantar kepada seorang saintis bernama Doktor Peter Piot di Belgium untuk diujikaji.
Setelah sisatan dibuat, Doktor Piot menemui satu virus baru yang berbentuk seakan cacing, yang menjadi punca penyakit misteri tersebut. Virus tersebut dinamakan Ebola, sempena Sungai Ebola yang berada tidak jauh dari Yambuku.
Virus ebola dilihat menerusi mikroskop elektron
Bagaimana Ebola Berjangkit / Tersebar?
Dikatakan bahawa kelawar buah dari keluarga Pteropodidae adalah hos semulajadi virus Ebola. Ebola masuk ke dalam populasi manusia melalui sentuhan dengan darah, cecair, organ atau cecair badan lain haiwan yang dijangkiti seperti cimpanzi, gorila, kelawar buah-buahan, monyet, antelop hutan dan landak yang didapati sakit atau mati.
Ebola kemudian merebak secara transmisi manusia ke manusia melalui sentuhan secara langsung (melalui broken skin atau membran mukus) orang sihat dengan darah, rembesan (najis, air kencing, muntah, air liur, air mani), organ atau lain-lain cecair badan orang yang dijangkiti, atau sentuhan dengan persekitaran (seperti pakaian, cadar, atau jarum) yang tercemar dengan cecair dari pesakit Ebola.
Apakah Simptom-simptom Ebola ?
Diantara gejala-gejala pertama Ebola adalah demam, kelesuan, sakit otot, sakit kepala dan sakit tekak. Ini diikuti dengan muntah, cirit-birit, ruam, tanda-tanda fungsi buah pinggang dan hati terjejas, dan dalam beberapa kes, pendarahan dalaman dan luaran (contohnya meleleh dari gusi, darah dalam najis).
Simptom akan wujud dan pesakit menjadi berjangkit selepas tempoh inkubasi iaitu 2 hingga 21 hari selepas pesakit dijangkiti virus Ebola.
Apakah Cara Merawat Ebola?
Buat masa sekarang masih belum ada ubat untuk penyakit Ebola. Sekadar beberapa vaksin yang masih lagi dalam eksperimen percubaan. Doktor kebiasaannya akan menyediakan penjagaan tambahan yang lebih rapi kepada pesakit, termasuk bantuan oksigen, pemindahan darah dan rawatan mengelakkan jangkitan penyakit lain.
Infografik mengenai Ebola
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Cancel