Laluan Alternatif Untuk Balik Raya ke Pantai Timur
Berikut adalah panduan laluan alternatif untuk perjalanan balik raya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang dari Lembah Klang serta selatan tanahair. Panduan ini disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Cadangan laluan alternatif ini bertujuan untuk membantu pengguna lebuhraya dan jalan persekutuan mengelakkan kesesakan lalulintas di lokasi-lokasi tertentu di sepanjang laluan-laluan utama ke destinasi balik kampung di Pantai Timur di musim perayaan. Laluan yang lancar dapat memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan stress.
Pandulah dengan cermat dan berhemah di jalanraya untuk memastikan anda selamat tiba di destinasi.
[Terkini] Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri akan diturunkan, masing-masing daripada 90 km/j kepada 80 km/j dan dari 80 km/j kepada 70 km/j bermula 8 Jun sehingga 22 Jun depan.
Senarai Laluan Alternatif ke Pantai Timur Semenanjung
Berikut adalah senarai dan peta laluan alternatif untuk perjalanan balik kampung ke Pantai Timur. Buatlah pilihan bijak, dan utamakan keselamatan.
Sila klik pada gambar untuk paparan yang lebih besar dan jelas.
-
Jalan Alternatif 1 di Jalan Persekutuan 8 (FT8)
Dari Bentong ke Kota Bharu, Kelantan melalui Felda Mempaga, Pahang
Laluan ini bertujuan untuk mengelak dari kesesakan di bandar Bentong.
- Selepas melalui Plaza Tol Bentong (Dari KL – Bentong), terus ke Laluan Persekutuan 1498 dan melalui Kampung Chinta Manis dan Felda Mempaga Jaya.
- Masuk ke persimpangan kanan ke Laluan Persekutuan 1496 dan kemudian masuk ke persimpangan Kampung Sungai Ruan, Laluan C149 di sebelah kiri. Kemudian masuk semula ke Laluan Persekutuan 8 menuju ke Kota Bharu.
-
Jalan Alternatif 2 di Jalan Persekutuan 8 (FT8)
Dari Bentong ke Kota Bharu, Kelantan melalui Raub, Pahang
Laluan ini bertujuan untuk mengelak dari kesesakan di Raub.
- Dari Bentong melalui Laluan Persekutuan 8 terus ke Bandar Raub, keluar ke kiri masuk ke Laluan C5 (Jalan Cheroh ke Batu Malim) dan masuk ke persimpangan Jalan Cheroh Ke Gesing melalui Laluan C158 di Seksyen 15.
- Dari persimpangan Cheroh masuk semula ke Laluan Persekutuan 8 menghala terus ke Kota Bharu.
- Dari Bentong melalui Laluan Persekutuan 8 terus ke Bandar Raub, keluar ke kanan dan lalu di hadapan Bangunan Majlis Daerah Raub dan susur ke kiri untuk melalui Jalan Bukit Koman sehingga ke bulatan kecil hadapan Hospital Raub.
- Dari bulatan kecil hadapan Hospital Raub, masuk ke kanan dan terus ke Jalan Taman Amalina Lestari dan terus ke Laluan Persekutuan 8 menuju ke Kota Bharu.
-
Jalan Alternatif 3 di Jalan Persekutuan 3 (FT3)
Dari Chukai ke Kuala Terengganu melalui Kg. Ibok, Terengganu
Laluan alternatif ini bertujuan untuk mengelak dari kesesakan di bandar Chukai.
- Dari Kuantan melalui Laluan Persekutuan 3, keluar ke kanan melalui Laluan T126 ke Chukai. Di persimpangan lampu isyarat, susur ke kanan ke Laluan Persekutuan 237 dan kemudian susur ke kiri di persimpangan lampu isyarat yang ke-2 ke Laluan T131 menghala ke Zoo Mini.
- Masuk ke Laluan T13 di Kampung Ibok dan terus ke Laluan T6 di Kampung Bukit Anak Dara. Di persimpangan empat, susur ke kiri ke Laluan Persekutuan 145 menuju ke Kuala Terengganu/ Kota Bharu.
-
Laluan Alternatif 4 di Jalan Persekutuan 8 (FT8)
Dari Gua Musang ke Kota Bharu melalui Kuala Krai, Kelantan
Laluan alternatif ini bertujuan untuk mengelak dari kesesakan di bandar Kuala Krai.
- Dari Gua Musang melalui Laluan Persekutuan FT8, keluar ke kanan melalui Lalauan D225 di Kampung Sungai Peria.
- Dari Simpang Tiga Sungai Pahi, susur ke kiri menghala ke Guchil dan masuk semula ke Laluan Persekutuan FT8 menuju ke Kota Bharu.
[Update Jun 2018] Lakaran peta terkini jalan alternatif untuk bypass bandar Kuala Krai menunjukkan lokasi kerja-kerja pembaikian jambatan yang sedang dijalankan.
Salah satu pilihan lain ialah elakkan terus melalui Kuala Krai. Sebaliknya, gunakan Jalan Jeli-Dabong-Sungai Sam FT66 dari Sungai Sam ke Jeli dan seterusnya Jalan Pasir Puteh-Jeli FT4 sehingga ke Machang sebelum kembali semula melalui Jalan Kota Bharu-Kuala Krai FT8 ke Kota Bharu.
Semoga panduan laluan alternatif di atas berguna buat pembaca yang bercadang untuk memandu kereta atau menunggang motosikal ke Pantai Timur.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri.