Cara Bertukar ke Simpanan Syariah KWSP
Cara menukar akaun KWSP dari Simpanan Konvensional ke Simpanan Shariah. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan simpanan persaraan baharu Simpanan Shariah pada 1 Januari 2017. Ia merupakan alternatif kepada simpanan KWSP konvensional.
Simpanan Shariah merupakan simpanan yang diurus dan dilabur secara Islamik berdasarkan prinsip Syariah. Opsyen ini terbuka untuk semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan status warganegara.
Ahli yang memilih untuk menukar akaun KWSP semasa (konvensional) kepada Simpanan Shariah, boleh membuat permohonan secara online, melalui aplikas i-Akaun atau secara manual di mana-mana cawangan KWSP.
Kalau nak cara mudah, daftarlah secara online melalui i-Akaun. Layari Cara Daftar i-Akaun KWSP di sini.
Cara Mendaftar Simpanan Shariah KWSP
Daftar Secara Online
[Terkini] Pendaftaran akaun Simpanan Shariah kini boleh dibuat secara online melalui i-akaun KWSP atau aplikasi i-Akaun.
Berikut adalah langkah-langkah untuk menukar dari akaun konvensional kepada akaun Simpanan Shariah:
- Login ke i-Akaun anda.
- Klik tab Simpanan Shariah. Sistem akan memaparkan "Your EPF account is currently not Syariah compliant".
- Tekan butang "Register Now" untuk menukar kepada Simpanan Shariah.
- Sahkan maklumat peribadi yang dipaparkan.
- Baca e-Akad Simpanan Syariah dan tick dalam kotak kecil tanda faham dan setuju.
- Akhir sekali masukkan TAC dan tekan butang "Confirm" untuk sahkan permohonan.
- Tunggu permohonan diluluskan.
Daftar Secara Manual
Ahli yang ingin menukar skim daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah perlu hadir sendiri ke kaunter KWSP dan membawa bersama Mykad/Pasport untuk pengesahan identiti. Ahli perlu menyerahkan dokumen pengenalan diri dan menurunkan cap ibu jari pada Akad Simpanan Shariah yang telah dicetak.
Semakan Keputusan Permohonan Simpanan Shariah KWSP
Permohonan yang berjaya akan menerima Notis melalui mel dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) menyatakan tarikh kuat kuasa tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh kuat kuasa Simpanan Shariah.
Kadar Dividen Simpanan Shariah
Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk KWSP Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi sebenar portfolio pelaburan patuh Syariah dan tiada jaminan kadar minimum 2.5 peratus seperti yang terdapat pada dividen KWSP Simpanan Konvensional.
Nota penting: Ahli KWSP yang memilih Simpanan Syariah tidak boleh membatalkannya (untuk kembali ke Simpanan Konvensional) selepas tarikh kuat kuasa.
Sumber: Laman web Simpanan Shariah KWSP di sini