Semakan Wang Tak Dituntut Online eGUMIS

eGUMIS semakan Wang Tidak Dituntut secara online 2020. Cara membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD) secara atas talian melalui sistem eGUMIS. Sistem Electronic Government Unclaimed Money Information System (eGUMIS) ini akan membolehkan semakan WTD dibuat tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Malaysia (JANM).

Definisi WTD

Wang Tak Dituntut (WTD) ialah wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh masa tertentu seperti mana yang telah ditetapkan oleh Akta WTD 1965.

Jenis-jenis WTD

Menurut Seksyen 8 Akta WTD 1965, WTD terbahagi kepada tiga kategori, iaitu:

  1. Wang yang kena dibayar kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh melebihi satu tahun, contohnya gaji, bonus, komisen kepada kakitangan dan dividen.
  2. Wang di dalam kredit sesuatu akaun yang telah dorman/tidak aktif melebihi tujuh tahun, contohnya akaun simpanan, akaun semasa dan simpanan tetap.
  3. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga bagi satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun, contohnya akaun pemiutang dagangan dan akaun penghutang dagangan berbaki kredit.

Wang Tak Dituntut tersebut hendaklah diserahkan kepada Pendaftar WTD, iaitu Akauntan Negara Malaysia sebagai pemegang amanah akan menyimpan wang tersebut sehingga ianya dituntut oleh empunya yang berhak.

Empunya atau mana-mana pihak yang dapat membuktikan beliau mempunyai hak di sisi undang-undang terhadap WTD, boleh membuat tuntutan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) pada bila-bila masa.

semakan WTD online eGUMIS

eGUMIS: Sistem Semakan Wang Tidak Dituntut (WTD)

Aplikasi eGUMIS akan memudahkan orang ramai menyemak status WTD sebelum permohonan tuntutan WTD dapat dibuat. Semakan dapat dibuat secara online pada bila-bila masa, tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Malaysia (JANM).

Berikut dikongsikan maklumat terkini mengenai semakan WTD secara online melalui eGUMIS.

⦿ Cara Semak WTD Menerusi eGUMIS

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat semakan Wang Tak Dituntut secara online:

1. Mendaftar Sebagai Pengguna

Untuk menggunakan sistem eGumis, anda hendaklah mendaftar terlebih dahulu. Ikuti langkah-langkah berikut untuk mendaftar sebagai pengguna:

  1. Layari laman eGUMIS di pautan berikut:

    https://egumis.anm.gov.my

  2. Klik pada pautan "Pendaftaran" pada sebelah atas kiri skrin untuk mendaftar. Skrin Pendaftaran Pengguna dipaparkan.
  3. Isi maklumat yang diminta seperti nama penuh, alamat e-mel, nama pengguna dan kata laluan sementara.
  4. Tekan butang "Daftar".
  5. Setelah pendaftaran disahkan, log masuk menggunakan nama pengguna dan kata laluan sementara.
  6. Tukar kata laluan kepada kata laluan yang baharu. Kemudian tekan butang "Simpan".
  7. Skrin Maklumat Pengguna akan dipaparkan. Isi maklumat yang diminta i.e. alamat rumah dan nombor telefon, kemudian klik "Simpan".
2. Membuat Carian

Cara untuk melakukan carian Wang Tak Dituntut adalah seperti berikut:

    semakan WTD online eGUMIS

  1. Log masuk ke eGUMIS menggunakan nama pengguna dan kata laluan.
  2. Klik pada pautan Carian Wang Tak Dituntut.
  3. Masukkan nombor kad pengenalan dan tekan butang "Cari".

Sistem akan memaparkan hasil carian yang berupa senarai Wang Tidak Dituntut. Setiap WTD menyatakan maklumat nama empunya WTD, nombor kad pengenalan, jenis WTD, tahun kewangan, nama entiti dan amaun.

senarai hasil carian WTD eGUMIS

Contoh hasil carian WTD

Semoga info mengenai kemudahan semakan WTD online ini akan membantu orang ramai mengesan samada mereka mempunyai Wang Tak Dituntut dan seterusnya menuntut kembali duit tersebut.