Semak CCRIS Secara Online
Cara semak laporan/penyata CCRIS secara online melalui eCCRIS. Orang ramai tidak perlu lagi ke ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyemak CCRIS atau menunggu sehingga 2 minggu untuk terima laporan CCRIS melalui emel.
Kini semakan CCRIS boleh dibuat secara atas talian. Dengan sistem eCCRIS BNM, anda akan dapat akses kepada laporan CCRIS serta merta, di mana sahaja.
Apa Itu CCRIS?
CCRIS (Central Credit Reference Information System) atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat ialah satu sistem pangkalan data di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengumpul semua maklumat kredit peminjam daripada institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.
CCRIS memproses dan menyusun semula maklumat kredit peminjam dalam bentuk laporan kredit. Laporan kredit ini tersedia untuk dibekalkan kepada anda (selaku peminjam) atau institusi kewangan (yang anda langgani atau bakal langgani) jika diminta. CCRIS merupakan salah satu sumber maklumat yang digunakan institusi kewangan untuk membantu mereka memeriksa sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka.
CCRIS hanya menyediakan laporan dari maklumat kredit peminjam. Ia tidak membuat penilaian dan ia bukanlah satu senarai hitam atau “blacklist” seperti tanggapan sesetengah pihak.Semakan CCRIS Online Melalui eCCRIS
eCCRIS ialah sebuah platform dalam talian yang disediakan oleh BNM untuk orang ramai mengakses laporan CCRIS masing-masing secara online. Dengan eCCRIS, orang ramai kini boleh memantau dan mengesahkan kedudukan kredit dengan mudah.
Pengguna juga boleh mengemukakan pertikaian/permohonan pengesahan data secara langsung dengan institusi kewangan melalui eCCRIS bagi mengesahkan dan meminda apa-apa maklumat yang tidak tepat dalam penyata CCRIS mereka.
Perkhidmatan eCCRIS disediakan secara percuma, dan beroperasi dari 6:00 pagi - 12:00 tengah malam, Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum).
Berikut dikongsikan cara-cara mendaftar eCCRIS dan membuat semakan online CCRIS melalui eCCRIS.
Pendaftaran CCRIS Online
Untuk mendaftar, orang ramai hanya perlu melakukan lima langkah mudah berikut:
- Hadir sendiri di mana-mana pejabat Bank Negara Malaysia atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara untuk membuat pendaftaran.
- Di kiosk CCRIS, sahkan identiti dengan menggunakan MyKad, dan daftarkan nombor telefon bimbit yang sah. Bagi perniagaan, surat kebenaran dan sijil pendaftaran syarikat diperlukan untuk individu yang dibenarkan mendaftar bagi pihak syarikat.
- PIN 6 digit akan dihantar kepada nombor telefon bimbit yang didaftarkan.
Layari laman sesawang eCCRIS di alamat berikut:
Masukkan nombor MyKad dan PIN 6 digit untuk log masuk kali pertama.
- Seterusnya (i) tetapkan ID pengguna dan kata laluan pilihan, (ii) pilih imej dan frasa keselamatan peribadi, dan (iii) tetapkan tiga soalan keselamatan berserta jawapan.
Cara Dapatkan Laporan CCRIS
Berikut adalan langkah-langkah untuk akses laporan CCRIS:
- Pergi ke laman web eCCRIS untuk paparan laman utama.
- Log masuk menggunakan ID Pengguna dan kata laluan yang telah didaftarkan. Jika ingin paparan versi Bahasa Melayu, klik “BM” pada sebelah atas kanan skrin.
- Klik pada tab "ENQUIRY", kemudian pilih "Self Enquiry - Individual".
- Klik kotak “I agree” dan kemudiannya butang “Report Enquiry” untuk memaparkan laporan CCRIS terkini anda.
- Untuk muat turun salinan fail laporan dalam bentuk pdf, klik butang "Download".
Kandungan Laporan/Penyata CCRIS
Penyata CCRIS menunjukkan rekod pembiayaan dan pembayaran balik peminjam dengan institusi kewangan bagi tempoh 12 bulan yang lalu.
Antara rekod kredit yang termasuk dalam CCRIS adalah pinjaman peribadi, pinjaman pembelian rumah/ kedai, pinjaman PTPTN, kad kredit, pembiayaan untuk pembelian kenderaan dan pembiayaan perniagaan daripada bank.
Laporan kredit dipecah kepada tiga bahagaian iaitu Outstanding Credit (Kredit Belum Jelas), Special Attention Account (Akaun Di Bawah Pemerhatian Khas) dan Application For Credit (Permohonan Untuk Kredit). Setiap rekod pinjaman disertakan dengan butiran seperti status pinjaman, nama institusi peminjam, jenis kemudahan kredit, jumlah baki belum jelas, rekod pembayaran selama 12 bulan yang lepas (angka "0" menandakan bayaran dijelaskan on time, tiada tunggakan) dan lain-lain.
Maklumat Lanjut Semakan eCCRIS Online
Sekiranya terdapat soalan lanjut berkaitan eCCRIS, sila layari Panduan Pengguna & Soalan Lazim eCCRIS di sini. Anda juga boleh menghubungi talian BNMTELELINK di 1-300-88-5465 dari jam 9:00 pagi - 5:00 petang, Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum).
Semoga panduan membuat semakan CCRIS self check online ini membantu anda memantau dan mengesahkan kedudukan kredit termasuk rekod pembayaran balik pinjaman, seterusnya memantapkan urusan kewangan anda.