Asma’ul Husna 99 Nama Allah Serta Makna

Asma’ul Husna 99 nama Allah dalam bahasa Arab, Rumi dan maksud serta penerangan dalam Bahasa Melayu. Pautan kepada video Youtube dan mp3 lagu/zikir Asma’ul Husna, serta poster dan huraian dalam bentuk pdf.

Asma’ul Husna (nama-nama yang indah) ialah nama-nama Allah yang menunjukkan sifat-sifat-Nya. Asma’ul Husna merupakan salah satu cara untuk kita belajar mengenal Allah.

Allah SWT memperkenalkan diri-Nya kepada sekalian makhluk ciptaan-Nya melalui pengertian nama-nama ini. Nama-nama ini Dia sendiri berikan untuk diri-Nya (dalam Al-Qur’an) dan ada juga yang disampaikan oleh Rasul-Nya (melalui hadis).

Umat Islam disuruh menggunakan nama-nama ini bila merujuk kepada Allah terutama sekali ketika berdoa. Firman Allah:

Dan Allah memiliki asma-ul husna (nama-nama yang indah), maka berdoalah kepada-Nya dengan nama-nama tersebut. [Surah A’raaf 7:180]

poster 99 nama Allah asma ul husna

Klik untuk gambar besar dan jelas

Senarai 99 Nama Allah (Asma’ul Husna)

Berikut adalah 99 nama Allah SWT (Asma’ul Husna) berserta makna. Jadual di bawah mengandungi nama-nama Allah dalam bahasa Arab, transliterasi Arab-Rumi menggunakan kaedah Dewan Bahasa dan Pustaka untuk panduan sebutan, makna dalam Bahasa Melayu, serta sedikit huraian mengenai setiap nama.

Klik pada setiap nama Allah untuk membaca huraian/penerangan ringkas maksud nama tersebut.

No. Nama Transliterasi Makna
1 الرَّحْمَٰنُ Al-Raḥmān Yang Maha Pengasih
Allah Ya Raḥmān Yang Maha Pengasih, Maha Pemurah atau Maha Belas Kasihan (rahmat). Dia menaburkan kasih kepada semua makhluk di alam semesta ini walaupun mereka tidak menyembah-Nya dan tidak mengucapkan terima kasih kepada-Nya atau tidak meminta kepada-Nya. Rahmat Allah meliputi segala-galanya.
2 الرَّحِيمُ Al-Raḥīm

Yang Maha Penyayang

Allah Ya Raḥīm Maha Penyayang. Allah penyayang kepada hamba-Nya yang beriman. Dengan sayang-Nya Dia memelihara hamba pilihan-Nya untuk tetap berada di dalam redha-Nya. Sayang Allah akan berakhir dengan balasan syurga di akhirat.
3 الْمَلِكُ Al-Malik Yang Maha Berkuasa
Allah Ya Malik Yang Maha Berkuasa, Maha Memiliki. Dia memiliki seluruh isi langit dan bumi secara mutlak. Dan Dia memiliki diri kita, tubuh badan kita, anak-anak kita, suami/isteri kita. Dia boleh memberi dan mengambil apa sahaja daripada manusia pada bila-bila masa. Tiada siapa yang mampu menghalang Allah.
4 الْقُدُّوسُ Al-Quddūs Yang Maha Suci
Allah Ya Quddūs bererti Allah Maha Suci, Maha Bersih atau Maha Sempurna dari segala kesalahan, kecacatan atau kekurangan. Penciptaan langit dan bumi membuktikan kesempurnaan penciptaan-Nya dan kekuasaan-Nya. Allah Al—Quddus juga membawa makna Allah mempunyai pekerti yang Maha Mulia diliputi dengan kasih sayang tanpa kebencian. Kesucian Allah Ya Quddus membolehkan Allah menyucikan jiwa-jiwa manusia.
5 السَّلاَمُ Al-Salām Yang Maha Pemberi Sejahtera
Allah Ya Salām bererti Maha Sejahtera, Maha Tenang, Maha Menyelamatkan dan Maha Damai. Dia yang memberi kesejahteraan, ketenangan, keselamatan dan kedamaian kepada manusia. Dia memberi kesejahteraan jiwa, pemikiran, emosi dan tubuh badan. Untuk mendapat kesejahteraan dari As-Salam, hendaklah mendekatkan diri dengan-Nya dengan melakukan ketaatan dan ibadah sunat.
6 الْمُؤْمِنُ Al-Mu’min Yang Maha Mengamankan
Allah Ya Mu'min memberi keamanan jiwa, emosi dan jasmani, dibebaskan dari rasa takut dan bimbang. Allah menjaga keamanan kehidupan manusia dan Dia juga mampu memberikan bahaya dan ancaman (Ya Dharr). Untuk mendapat keamanan dari Ya Mukmin, hendaklah beriman kepada Allah, Malaikat, Rasul, Kitab, Akhirat, Qada' dan Qadar.
7 الْمُهَيْمِنُ Al-Muhaymin Maha Pelindung
Ya Allah Ya Muhaymin Maha Pelindung. Dia melindungi hidup manusia daripada bahaya dan bencana. Dia melindungi manusia daripada tergelincir dari jalan kebenaran dan daripada mengikut bisikan syaitan serta memelihara hamba-hamba yang beriman daripada api neraka.
8 الْعَزِيزُ Al-‘Azīz Yang Maha Perkasa
Ya Allah Ya ‘Azīz Yang Maha Perkasa. Dia lebih perkasa daripada segala sesuatu. Keperkasaan-Nya dapat dilihat dalam penciptaan langit dan bumi serta makhluk-Nya. Dia perkasa dalam menguasai setiap makhluk-Nya seperti matahari, bulan, bintang, binatang, gunung serta manusia. Seluruh keperkasaan makhluk-Nya samada manusia, binatang dan sebagainya adalah keperkasaan-Nya. Dia juga mampu memperkasakan jiwa manusia agar cekal dan tabah dalam menghadapi ujian kehidupan.
9 الْجَبَّارُ Al-Jabbār Maha Pemaksa
Ya Jabbār Yang Maha Memaksa yang kehendak-Nya tidak dapat diingkari oleh sesiapa pun. Pemaksaan-Nya tanda kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba pilihan-Nya kerana manusia sering lupa dan lalai. Hanya dengan pemaksaan dan kehendak-Nya manusia akan ingat kepada Allah ketika diri lalai.
10 الْمُتَكَبِّرُ Al-Mutakabbir Yang Maha Hebat
Allah Ya Mutakabbir Yang Maha Hebat, Maha Memiliki Kebesaran. Dia lebih hebat daripada segala sesuatu. Seluruh kebesaran di atas dunia ini adalah milik-Nya seperti gelaran kemuliaan dan jawatan. Kebesaran-NYa juga membawa erti Dia zat yang Maha Besar yang kebesaran-Nya meliputi kebesaran alam ini. Manusia dan alam semesta sangat kerdil berbanding dengan kebesaran Allah.
11 الْخَالِقُ Al-Khāliq Maha Pencipta / Perancang
Allah Ya Khāliq Yang Maha Pencipta menciptakan alam semesta ini serta seluruh isi langit dan bumi tanpa bantuan sesiapa. Dia pencipta dan pemilik mutlak ke atas segalanya. Penciptaan-Nya sangat sempurna, indah dan harmoni. Manusia adalah ciptaan Allah dan sebagai pencipta, Allah mengetahui keperluan manusia dan mengatur segala keperluan manusia di atas dunia ini.
12 الْبَارِئُ Al-Bārī’ Yang Maha Pembuat, Maha Merancang, Maha Menjadikan
Ya Bārī’ Yang Maha Merancang merancang dan mengatur kejadian alam diri, merancang kehidupan manusia dan perjalanan seluruh makhluk di dunia ini. Perancangan dan pengaturan-Nya sangat hebat dan sempurna.
13 الْمُصَوِّرُ Al-Muṣawwir Maha Pembentuk
Allah Ya Muṣawwir mereka bentuk alam semesta dan semua makhluk-Nya dengan cantik dan sempurna serta penuh keunikan dan kreatif. Setiap kreativiti manusia merupakan sifat Allah Ya Muṣawwir, bukan kehebatan kreativiti dan mereka bentuk manusia. Dia mengalirkan sifat Al-Muṣawwir kepada manusia sehingga manusia menjadi kreatif dalam perbuatannya.
14 الْغَفَّارُ Al-Ghaffār Yang Maha Pengampun
Ya Allah Ya Ghaffār Yang Maha Pengampun sentiasa mengampun dosa hambaNya walaupun dosa itu sebanyak buih di lautan. Walau berulang kali melakukan kesalahan tetapi sekiranya setiap kali melakukan kesalahan dia dan bertaubat dan memohon ampun, pasti akan diampunikan oleh Allah Ya Ghaffār.
15 الْقَهَّارُ Al-Qahhār Yang Maha Menundukkan / Menguasai
Ketika manusia berdegil tidak mematuhi perintah Allah, Allah Ya Qahhar akan menghukum agar manusia kembali ke jalan Allah.
16 الْوَهَّابُ Al-Wahhāb Maha Pemberi Kurnia
Allah Ya Wahhāb sentiasa memberi nikmat kepada manusia tanpa meminta balasan dan seringkali Allah memberi tanpa manusia meminta.
17 الرَّزَّاقُ Al-Razzāq Maha Pemberi Rezeki
Allah Ya Razzāq memberi rezekiNya kepada setiap makhlukNya. Setiap makhluk samada manusia atau binatang sudah tersedia rezeki masing—masing. Rezeki Allah dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk keperluan duniawi seperti makan—minum, kesihatan, wang ringgit, rumah, kenderaan dan sebagainya. Ada dalam bentuk ukhrawi iaitu keimanan dan ilmu mengenal Allah dan syurga. Rezeki merupakan ujian daripada Allah. Allah memerintahkan kita menafkahkan sebahagian daripada rezekiNya kepada orang yang memerlukan.
18 الْفَتَّاحُ Al-Fattāḥ Yang Maha Membuka
Allah Ya Fattah membuka setiap yang tertutup. Dia membuka pintu rezeki, pintu penyelesaian segala masalah hidup, membuka pintu kasih sayang hati yang tertutup, membuka minda dan pemikiran yang buntu dan tertutup dan membuka setiap sesuatu yang tertutup yang diperlukan oleh manusia. Dia juga mampu membuka jalan ke arahNya dan mendekatkan manusia denganNya dengan membuka pintu hati dan akal.
19 اَلْعَلِيْمُ Al-‘Alīm Yang Maha Mengetahui
Allah Ya Alim mengetahui setiap sesuatu yang berlaku. Dia mengetahui perkara-perkara yang ghaib yang di luar jangkauan manusia dan Dia mengetahui apa yang akan berlaku. Tiada sehelai daun pun yang gugur tanpa pengetahuanNya. Ilmu Allah Ya Alim sangat hebat. Kehebatan ilmuNya terserlah dalam kesempurnaan penciptaan makhlukNya. Ya Alim memberikan ilmuNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
20 الْقَابِضُ Al-Qābiḍ Yang Maha Menyempitkan / Mengekang
Allah Ya Qobid mampu menggenggam, menyempitkan, menghalang. Dia mampu menyempitkan rezeki seseorang sekiranya Dia merasakan perlu sebagai peringatan dan hukuman kepada hambaNya. Dia juga mampu menghalang atau menangguhkan seseorang daripada mendapat sesuatu seperti jawatan, harta, kasih sayang dan sebagainya. Tetapi setiap ketentuan Allah Ya Qobid mempunyai kebaikan yang seringkali tidak mampu difikirkan oleh manusia.
21 الْبَاسِطُ Al-Bāsiṭ Yang Maha Meluaskan / Melapangkan
Allah Ya Basit mampu melapangkan rezeki seseorang setelah disempitkanNya. Allah melapangkan rezeki seseorang mengikut keperluannya dan kesesuaiannya. Disebalik kelapangan itu tersirat ujian daripada Allah. Setiap kelapangan harus diiringi dengan syukur, digunakan sebagai alat untuk mendekatkan diri kepadaNya dan juga untuk membantu orang lain.
22 الْخَافِضُ Al-Khāfiḍ Yang Maha Merendahkan / Menjatuhkan
Allah Ya Khāfiḍ berhak merendahkan atau menghinakan makhlukNya sekiranya Dia merasakan perlu bagi memberi peringatan kepada hambaNya yang lalai. Allah juga mampu menghinakan tempat kembali mereka di akhirat di neraka disebabkan dosa-dosa mereka.
23 الرَّافِعُ Al-Rāfi’ Yang Maha Meninggikan / Mengangkat
Allah Ya Rafi' mampu meninggikan seseorang mengikut pilihanNya. Dia mampu meninggikan seseorang samada semasa hidup atau selepas mati. Perjuangan manusia semasa hidup akan dinikmati oleh generasi akan datang dan kemaksiatan akan menghinakan generasi akan datang.
24 الْمُعِزُّ Al-Mu’izz Yang Maha Memuliakan
Kemuliaan itu milik Allah Ya Mu'izz dan Dia memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dia memberi kepada utusanNya dan orang-orang yang beriman. Allah boleh menarik balik kemuliaan itu dengan menghinakan. Orang-orang yang menjadi hamba dunia, pangkat dan wang tidak akan mendapat kemuliaan dari Ya Mu'izz.
25 المُذِلُّ Al-Mudhill Yang Maha Menghinakan
Allah ya Mudhill berhak dan berkuasa menghinakan seseorang dan tiada siapa yang terlepas daripadaNya. Tiada siapa yang dapat memuliakan seseorang yang dihina Allah. Allah menghina manusia yang melampau batas, zalim, mementing diri sendiri dan sombong. Allah menghina manusia ketika mereka menjauhiNya, melakukan laranganNya dan tidak menghiraukan perintahNya dan ketika manusia lebih takut kepada manusia daripada murka Allah.
26 السَّمِيعُ Al-Samī’ Yang Maha Mendengar
Allah Ya Sami' mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-hambaNya, mendengar keluhan serta puji-pujian kepadaNya. Allah juga mendengar setiap rahsia yang disembunyi oleh hamba-hambaNya. Dia mendengar suara lidah dan suara hati dan menghitungnya.
27 الْبَصِيرُ Al-Baṣīr Yang Maha Melihat
Allah Ya Basir Maha Melihat. Dia melihat setiap perbuatan manusia dan menghitung setiap perbuatan tersebut. Tiada sesuatupun yang boleh terlepas daripada pandangan dan perhatian Allah.
28 الْحَكَمُ Al-Ḥakam Yang Maha Memberi Hukuman
Allah Ya Hakam mempunyai ketetapan hukum terhadap manusia. Allah menetapkan hukum untuk kebaikan manusia dan agar manusia mengikut jalan yang benar. Tiada siapa yang boleh menghalang dan mengingkari hukuman Allah. Manusia harus menerima apa sahaja hukum Allah sebagai anugerah dan nikmat, bukan bencana.
29 الْعَدْلُ Al-‘Adl Yang Maha Adil
Allah Ya 'Adl bersifat Maha Adil kepada makhlqNya. Seseorang tidak akan dirugikan dan dibalasi mengikut apa yang dia kerjakan. Jalan keburukan yang dilalui oleh manusia akan dibalas dengan adil oleh Allah Ya Adl. Manusia harus menerima pengadilan Allah dengan penuh rasa nikmat kerana kasih sayangNya menyelamatkan kita daripada bencana. Seringkali apa yang disukai Allah tidak disukai manusia dan apa yang dibenci Allah disukai manusia. Oleh itu sentiasa ingat bahawa setiap pengadilan Allah itulah yang paling adil dan baik untuk manusia dan terimalah dengan redha.
30 اللَّطِيفُ Al-Laṭīf Yang Maha Lembut
Allah Maha Lembut membawa erti hasil ciptaanNya maha halus. Setiap takdir ke atas manusia penuh kebaikan dan hikmah dan Allah melihat sesuatu dengan penuh lembut dan halus. Allah Ya Latif juga melayan hamba-hambaNya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Kelembutannya dapat dirasai ketika dimaafkan segala kesalahan kita ketika kita memohon ampun, dimakbulkan segala keperluan ketika kita memohon, diselamatkan dari bala bencana ketika kita memohon perlindungan.
31 الْخَبِيرُ Al-Khabīr Yang Maha Waspada
Allah Ya Khobiir Yang Maha Waspada sentiasa benrwaspada terhadap tingkahlaku manusia. Sekiranya manusia terseleweng, maka akan diperbetulkan ke jalan yang benar.
32 الْحَلِيمُ Al-Ḥalīm Yang Maha Penyantun
Allah Ya Halim Yang Maha Penyantun sentiasa bersifat santun kepada hamba-hambaNya walaupun mereka tidak santun kepadaNya. Dia santun dalam memberikan nasihat dan teguran, santun dalam layanan, santun dalam perkataan, santun dalam tindakbalas kasar hambaNya.
33 الْعَظِيمُ Al-‘Aẓīm Yang Maha Agung
Allah Ya 'Aẓīm Yang Maha Agong memiliki seluruh isi langit dan bumi. KeagunganNya mengatasi keagungan manusia kerana manusia hanyalah hamba yang menggunakan pinjaman dan amanah Allah secara sementara. Allahlah pemilik yang mutlak dan dia mampu berbuat apa sahaja kepada sesiapa sahaja tanpa keizinan hamba-hambaNya. Dia mengurus, mengatur dan mengawal setiap makhlukNya tanpa bantuan dan begitu sempurna tanpa cacat cela.
34 الْغَفُورُ Al-Ghafūr Yang Maha Pengampun
Allah Ya Ghafūr Yang Maha Pengampun mengampun dosa hambaNya tidak kira sebesar mana dosa tersebut (selain dosa syirik). Allah Ya Ghofuur Yang Maha Pengampun mengampuni hambaNya walaupun dosa hambaNya sebanyak buih di lautan. Setiap kali hambaNya melakukan dosa dan kemudian memohon ampun kepada Allah Ya Ghofuur, pasti Dia akan mengampunkan dosa mereka. Seorang hamba semestinya lah sentiasa memohon keampunan daripada Allah Ya Ghofuur kerana tanpa keampunanNya pastilah seseorang itu akan menerima azab api nerakaNya di akhirat kelak.
35 الشَّكُورُ Al-Syakūr Yang Maha Mensyukuri
Allah Ya Syakuur Yang Maha Mensyukuri dan Menghargai sentiasa menghargai hamba-hambaNya yang mentaatinya dan mengikut perintahNya serta melakukan kebaikan dan amal soleh. Dia Ya Syakuur akan sentiasa menunjukkan penghargaanNya dengan mengalirkan kasih sayangNya, mengalirkan rezeki dan kekayaanNya, memberikan perlindunganNya dan memberikan balasan syurga di akhirat kelak.
36 الْعَلِيُّ Al-‘Alīy

Yang Maha Tinggi

Allah Ya Aliy Yang Maha Tinggi mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada yang ditakluki dan dikalahkan, sekali gus menakluki makhlukNya. Kedudukan Allah Ya Aliy mencapai puncak tertinggi di tempat yang tinggi. Dia Maha Tinggi disebabkan Zat dan sifat-sifatNya, lebih daripada gambaran makhlukNya. Dia Ya Aliy menganugerahkan darjat ketinggian kepada hamba-hamba pilihanNya seperti para nabi dan rasul.
37 الْكَبِيرُ Al-Kabīr

Yang Maha Besar

Allah Ya Kabir Yang Maha Besar merupakan ungkapan kesempurnaan zat. KebesaranNya menyebabkan Dia tidak memerlukan kepada sesiapapun, malah semua makhlukNya memerlukan kepadaNya.
38 الْحَفِيظُ Al-Ḥafīẓ

Maha Penjaga

Allah Ya Hafiz Yang Maha Memelihara dan Menjaga seluruh ciptaanNya. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada jagaanNya. Dia memelihara langit dan bumi dan setiap apa yang ada di antara keduanya. Manusia dijaga oleh Malaikat atas perintah Allah. Diantara pemeliharaan Allah ke atas manusia adalah dikurniakan kesihatan yang baik. Walaupun begitu melalui kesakitan, Allah Ya Hafiz memelihara jiwa kita agar sentiasa ingat kepadaNya dan ketika sakit manusia mampu merenungi apa yang berlaku di sekelilingnya terutama berinteraksi dengan Tuhan yang selama ini dilupakannya. Ujian kesusahan dan kesakitan adalah cara Allah menyelamatkan hambaNya dari azab api neraka. Allah Ya Hafiz juga mampu melindungi kita daripada bisikan hawa nafsu dan syaitan.
39 المُقيِت Al-Muqīt

Yang Maha Memberi Kekuatan dan Kecukupan

Allah Ya Muqit Yang Maha Memberi Kekuatan dan Kecukupan. Allah Ya Muqit mencukupkan keperluan manusia, berkuasa ke atas manusia serta mampu menggenggam manusia mengikut kehendakNya. Allah Ya Muqit juga mencukupkan rasa kebahagiaan dan kepuasan kepada hamba-hambaNya hasil daripada amalan dan ketaatan hamba itu kepada Allah.
40 الْحسِيبُ Al-Ḥasīb

Maha Pembuat Perhitungan

Allah Ya Hasib Yang Maha Menghisab, Menghitung atau Maha Mencukupi. Allah Ya Hasib mencukupkan segala keperluan makhlukNya tidak lebih dan tidak kurang, semuanya telah ditetap dan diatur oleh Allah. Apabila Allah Ya Hasib mencukupkan anugerah dan keperluan seseorang, tiada siapapun yang boleh mengurangkannya. Allah Ya Hasib juga menghitung setiap perbuatan manusia walau sebesar biji zarah sekalipun dan setiap kebaikan itu akan dibalas dengan adil, begitu juga dengan keburukan dan kejahatan.
41 الْجَلِيلُ Al-Jalīl

Yang Maha Mempunyai Keagungan dan Kesempurnaan

Allah Ya Jalil Yang Maha Mempunyai Keagungan dan Kesempurnaan, maha kaya, maha suci, maha luas dan semuanya. Apabila sifat Al-Jalil mampu dilihat dengan mata hari akan nampaklah kecantikan dan keindahan Allah. Ia akan melahirkan suasana kekaguman yang luar biasa, akan membangkitkan kehairanan, ketakjuban dan penghargaan yang tak terhingga sehingga tidak mampu digambarkan dengan kata—kata.
42 الْكَرِيمُ Al-Karīm

Yang Maha Pemurah

Allah Ya Karim Yang Maha Mulia, Maha Pemurah, Maha Dermawan dan memberi tanpa hitungan, tak pernah menghalang siapapun untuk datang kepadaNya dan gembira memberi anugerah kepada makhlukNya. Kemuliaan Allah Ya Karim juga digambarkan ketika Allah memberi pendidikan, pemeliharaan dan pembaikan kepada makhlukNya. Allah Ya Karim tak pernah memutuskan harapan hambaNya yang meminta kepadaNya.
43 الرَّقِيبُ Al-Raqīb Yang Maha Mengawasi
Allah Ya Roqib yang Maha Mengawasi sentiasa mengawasi hambaNya. Dia Ya Roqib mengawasi daripada bisikan syaitan dan nafsu, daripada kejahatan dan dosa, penyelewengan. Apabila Dia mendapati hambaNya terleka dan tersasar, Dia akan menegur dengan memberi sedikit ujian dan musibah sebagai peringatan. Ketika hamba sedang diuji, pada hakikatnya Allah Ya Roqib mengawasi kerana sayang kepada hambaNYa. Ibubapa boleh memohon Allah Ya Roqib untuk mengawasi anak—anaknya daripada kejahatan dan dosa apabila sudah tiada daya upaya dan keadaan yang begitu mencabar.
44 الْمُجِيبُ Al-Mujīb Yang Maha Mengabulkan
Allah Ya Mujib Yang Maha Mengabulkan pasti menjawab dan memberi response kepada setiap keluhan, permohonan dan rayuan hambaNya. Allah memberi masalah dan ujian hanya semata-mata untuk menguji tahap keimanan dan keyakinan hambaNya. Ya Mujib berhak mempercepat atau melambatkan pengabulan hajat hambaNya kerana kebijaksanaanNya dalam menentukan samada hajat itu membawa manafaat atau mudarat. Doa hajat hendaklah dipohon dengan penuh yakin dan sedar. Allah Ya Mujib tidak pernah jemu dengan keluhan dan permintaan hamba-hambaNya.
45 الْوَاسِعُ Al-Wāsi’ Yang Maha Luas
Allah Ya Wasi' Yang Maha Luas pemberian dan nikmatNya yang tidak dapat dihitung dan diperincikan. Allah Ya Wasi' juga Maha Luas ilmuNya, Maha Luas kekuasaanNya, Luas petunjuk dan bimbinganNya, Luas rezekiNya, Luas keampunanNya dan ganjaranNya.
46 الْحَكِيمُ Al-Ḥakīm Yang Maha Bijaksana
Ya Allah Ya Hakim Yang Maha Bijaksana, kebijaksanaanNya tidak mampu difikirkan dan difahami oleh sesiapa kecuali Nabi Muhammad s.a.w. Dia bertindak penuh hikmah bagi menampakkan kekuasaanNya. KebijaksanaanNya tidak mampu dilihat dengan pandangan zahir, bahkan hanya dengan pandangan mata hati. Semua tindakan Allah penuh dengan kebijaksanaan. Penciptaan alam ini juga melambangkan kebijaksanaan Allah Ya Hakim yang mana semuanya berlaku penuh harmoni dan saling berkait.
47 الْوَدُودُ Al-Wadūd Yang Maha Menyintai
Allah Ya Wadud Yang Maha Pencinta mencintai makhlukNya dengan kecintaan yang suci, abadi dan luar biasa. Cinta adalah ciptaan pertama yang dicipta yang melahirkan kekuatan kreativiti dan kehidupan yang sangat indah di dunia ini. Dia Ya Wadud mengalirkan rasa cinta ke dalam jiwa hamba-hambaNya agar mencintaiNya dan sesama makhluk.
48 الْمَجِيدُ Al-Majīd Yang Maha Mulia
Ya Allah Ya Majid Yang Maha Mulia memuliakan hamba pilihanNya sehingga Dia mampu mengkayakan seorang hamba tanpa harta, dicukupkan segala keperluan tanpa usaha dan dimuliakan tanpa susah payah. Begitu juga sebaliknya Dia mampu menimpakan musibah secara mendadak. Disebabkan kemuliaan itu hak Allah Ya Majid, manusia tidak boleh berbangga apabila dipuji kerana segala sifat baik dan terpuji itu adalah sifat Allah Ya Majid.
49 الْبَاعِثُ Al-Bā’ith Yang Maha Membangkitkan
Ya Allah Ya Baa'ith yang Maha Membangkitkan. Dia membangkitkan manusia selepas kematian, membangkitkan selepas tidur, membangkitkan lintasan hati untuk kebaikan dan keburukan. Allah Ya Ba'ith mampu membangkitkan ketenangan jiwa kepada hamba pilihanNya sehingga lahir keilkhlasan, rela, redha dan mahu menurut apa sahaja kehendakNya. Keikhlasan adalah kunci utama bagi mendekatkan diri pada Allah dan mendapatkan cahaya dariNya.
50 الشَّهِيدُ Al-Syahīd Yang Maha Menyaksikan
Ya Allah Ya Syahid Yang Maha Menyaksikan yang membawa erti Allah wujud, hadir, melihat dan menyaksikan setiap perbuatan manusia dan apa sahaja yang berlaku di alam semesta. Allah Ya Syahid menjadikan anggota manusia berkata-kata sebagai saksi perbuatan manusia di dunia. Allah menyaksikan apa yang dizahirkan oleh manusia dan apa yang disembunyikan di dalam hati.
51 الْحَقُّ Al-Ḥaqq Yang Maha Benar
Allah Ya Haq Yang Maha Benar adalah sumber kebenaran. KalimahNya benar, janjiNya benar, balasan dan azabNya benar, akhiratNya benar, cinta dan kasih sayangNya benar dan apa yang dibawa oleh Nabi dan rasulNya benar. Oleh itu hendaklah kita bersandarkan dan bersumberkan daripada kebenaran Allah Ya Haq dalam setiap kata-kata, perbuatan, ibadah, hukuman dan seluruh tindakan kita di dunia ini.
52 الْوَكِيلُ Al-Wakīl Maha Pemegang Amanah
Allah Ya Wakil Yang Maha Menguruskan Amanah melaksanakan urusan pentadbiran di dunia ini dengan penuh kesempurnaan. Sebagai seorang hamba yang tidak berdaya, seharusnya kita menyerahkan segala urusan kita kepada Allah Ya Wakil. Dia Ya Wakil pasti menjadi wakil yang amanah dan sempurna dalam menguruskan urusan hambaNya.
53 الْقَوِيُّ Al-Qawīy Yang Maha Kuat
Allah Ya Qowiy yang Maha Kuat mempunyai kekuatan yang maha hebat yang tiada siapa mempunyai kekuatan sepertiNya. Dia Ya Qowiy mampu menggerakkan bulan, matahari, bumi dan bintang. KekuatanNya mampu menenggalamkan bumi dan manusia. KekuatanNya juga mampu mengalahkan seluruh musuh walaupun seluruh manusia dan jin berkumpul untuk mengalahkanNya sudah pasti tidak akan mampu. Kekuatan yang ada pada manusia merupakan kekuatan Allah Ya Qowiy dan bukanlah kekuatan manusia sesungguhnya.
54 الْمَتِينُ Al-Matīn Yang Maha Teguh
Ya Allah Ya Matin Yang Maha Teguh, seluruh keteguhan yang ada di dunia ini adalah keteguhan Allah. KeteguhanNya lah yang menjadikan gunung-gunung teguh menjadi pasak bumi, kedudukan bulan, bintang dan matahari sangat teguh, tidak bergoyang sedikitpun dalam peredarannya. Keteguhan yang ada dalam setiap ciptaanNya merupakan keteguhan Ya Matin. Begitu juga manusia yang teguh jiwa dan iman merupakan anugerah Allah Ya Matin yang menyebabkan manusia mampu menghadapi apa jua dugaan hidup dengan penuh keteguhan dan kesabaran.
55 الْوَلِيُّ Al-Walīy Yang Maha Melindungi
Ya Allah Ya Waliy Yang Maha Melindungi lagi Maha mengurus. Ya Waliy juga sentiasa menolong dan membantu hamba-hambaNya yang dalam kesusahan dan ketika mereka dalam kesesatan. Allah Ya Waliy membimbing dan memberi rasa tenteram dan memberikan kejayaan dalam urusan hamba-hambaNya di dunia dan akhirat. Bagi hamba yang menjadikan Allah sebagai walinya, Allah akan menjaga dan membantu orang itu daripada segala yang dihajatinya dan sentiasa berada dalam taufik dan hidayah Allah.
56 الْحَمِيدُ Al-Ḥamīd Yang Maha Terpuji
Allah Ya Hamid menciptakan sesuatu dengan baik dan Allah mempunyai sifat yang terpuji dan segala perbuatan terpuji itu adalah sifatNya. Dia Ya Hamid layak untuk menerima pujian kerana Dia yang mencipta dan menghidupkan, yang menganugerahkan keperluan hidup dan Dia yang memberi petunjuk sehingga manusia mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Allah Ya Hamid layak mendapat pujian bukan hanya ketika menerima kesenangan tetapi juga ketika menerima kesempitan dan bencana kerana ianya merupakan proses pendidikan Allah kepada hamba-hambaNya. Seorang hamba hendaklah berbaik sangka dengan Allah walaupun apa pun yang dilakukan Allah kepadanya.
57 الْمُحْصِي Al-Muḥsī Yang Maha Menghitung
Allah Ya Muhsi Yang Maha Menghitung sentiasa menghitung amalan dan perbuatan hambaNya walaupun mungkin hambaNya lupa. Setiap perhitungan itu pasti akan dibalas diakhirat kelak kerana Allah itu hakim yang seadil-adilnya.
58 الْمُبْدِئُ Al-Mubdi' Yang Maha Memulai
Allah Ya Mubdi' Yang Maha Memulai, Dialah yang memulai menciptakan makhlukNya dan tidak ada yang mendahului Allah dalam penciptaanNya. KehebatanNya lah dalam penciptaan alam ini yang membolehkan Ya Mubdi', mencipta dan menguruskan makhlukNya tanpa bantuan dan Dia yang memulai setiap apa yang ada di dunia ini.
59 الْمُعِيدُ Al-Mu’īd Yang Maha Mengembalikan / Memulihkan
Allah Ya Mu'id Yang Maha Mengembalikan mengembalikan manusia kepadaNya di hari akhirat untuk dihisab dan diadili akan setiap perbuatan mereka di atas dunia ini. Dia Ya Mu'id juga mampu mengembalikan hamba-hamba pilihanNya kepada fitrah yang asal sehingga mereka ini mampu hidup sebagai hamba kepada Allah s.w.t dan pengikut Rasulullah s.a.w.
60 الْمُحْيِي Al-Muḥyī Yang Maha Menghidupkan
Allah ya Muhyi Yang Maha Menghidupkan mampu menghidupkan sesuatu yang telah mati samada tanah yang mati, manusia, termasuk jiwa. Jiwa yang dihidupkan oleh Allah Ya Muhyi akan subur dan mampu mengenal Allah sehingga mampu sentiasa melakukan ketaatan dan kebaikan.
61 اَلْمُمِيتُ Al-Mumīt Yang Maha Mematikan
Allah Ya Mumit Yang Maha Mematikan, Dia memegang nyata makhlukNya dan mampu mematikan pada bila-bila masa, di mana jua tanpa ada yang mampu menahanNya. Begitu juga sekiranya Dia Ya Mumit ingin menahan kematian seseorang, maka tiada siapa yang mampu mematikannya. Orang yang dekat dengan Allah tidak takut mati kerana kematian merupakan jalan untuk berjumpa Allah Ya Wadud yang dirindui.
62 الْحَيُّ Al-Ḥayy Yang Maha Hidup
Allah hidupNya kekal, tidak pernah musnah dan tidak terikat oleh sebarang syarat dan keadaan. Dia yang memberi kehidupan kepada makhluk. Dia terus hidup, tidak pernah tidur atau mengantuk atau letih.
63 الْقَيُّومُ Al-Qayyūm Yang Maha Berdiri Dgn Sendiri
Allah Ya Qayyum berdiri sendiri lagi maha tegak. Dia mengatur segala sesuatu yang menjadi keperluan makhlukNya secara sempurna, terus menerus tanpa bantuan sesiapa. Dia tidak memerlukan ketaatan hambaNya mahupun tidak berkurang kekuasaan dan kemuliaanNya sekiranya semua makhlukNya menjauhkan diri dariNya.
64 الْوَاجِدُ Al-Wājid Yang Maha Menemukan
Allah Ya Waajid Yang Maha Menemukan. Dia yang menemukan jalan keluar kepada hamba-hambaNya yang dalam kesusahan dan Dia juga menemukan jalan menuju kepadaNya. Allah Ya Waajid telah memberikan sepenuh potensi kepada manusia untuk menjadi khalifah di bumi ini, tetapi seringkali potensi itu tertutup seperti awan menutup gunung yang indah, manusia akan menemui potensi diri itu apabila mampu menyingkap tabir itu dengan membersihkan diri dari dosa-dosa dan mendekatkan diri kepada Allah Ya Waajid.
65 الْمَاجِدُ Al-Mājid Yang Maha Luas Kemuliaan
Allah Ya Maajid Yang Maha Mulia, dan Dialah yang menunjukkan kebaikan dan kemuliaan yang tidak terhingga kepada makhlukNya. Dengan kebaikan dan kemuliaan Allah Ya Maajid seseorang hambaNya mampu berbuat kebaikan dan dipandang mulia oleh Allah walaupun dia mendapat penghinaan manusia. Kemuliaan Allah Ya Maajid mampu melahirkan keyakinan yang luar biasa yang akan melahirkan kekuatan luar biasa pada otak dan tindakan.
66 الْواحِدُ Al-Wāḥid Yang Maha Esa
Allah Ya Waahid Yang Maha Esa tuhan yang satu. Tidak ada yang berhak disembah melainkanNya. Dia adalah permulaan segala sesuatu dan sumber kewujudan semua makhluk.
67 اَلاَحَدُ Al-Aḥad Yang Maha Tunggal
Allah Ya Ahad Yang Maha Tunggal dzatNya, tidak ada yang menyerupai dan dan menyamaiNya. Allah unik. Dia Maha Tunggal pada sifat-sifatNya, tidak ada yang seumpama denganNya. Tiada sekutu bagiNya dan Dia tidak bergantung kepada siapa pun. Dia menyendiri dengan segala kesempurnaan, keagungan, kebesaran, keindahan, pujian, hikmah, rahmah dan selainnya dari sifat-sifat kesempurnaan.
68 الصَّمَدُ Al-Ṣamad Yang Maha Diperlukan
Allah Ya Somad Yang Maha diperlukan, Dia diperlukan oleh setiap makhlukNya dan padanya kesudahan segala kekuasaan dan kemuliaan. Allah Ya Somad mengetahui setiap keperluan hamba-hambaNya dan memenuhi keperluan itu mengikut kehendakNya.
69 الْقَادِرُ Al-Qādir Yang Maha Berupaya
Ya Qadir Yang Maha Berupaya, Dia berupaya melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya apabila Dia menghendakinya. Kekuasaan Allah Ya Qadir tercermin dalam penciptaan alam semesta.
70 الْمُقْتَدِرُ Al-Muqtadir Yang Maha Menentukan
Allah Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan menentukan segala sesuatu dan Dia memegang kekuasaan mutlak. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang kehendak dan ketentuanNya. Dengan kekuatan Allahlah berlaku sesuatu kehendakNya melalui makhlukNya, tanpa kekuatanNya, makhlukNya tidak mampu melakukan apa-apa pun.
71 الْمُقَدِّمُ Al-Muqaddim

Yang Maha Mendahulukan

Allah Ya Muqaddim Yang Maha Mendahulukan mempunyai kuasa mutlak mendahulukan sesuatu mengikut kehendakNya. Dia mampu menyegerakan sesuatu perkara mengikut kehendakNya semahuNya. Seringkali Allah Ya Muqaddim mendahulukan kegagalan dan kesulitan sebelum diberiNya kejayaan yang lebih besar. Ternyata kesulitan itu adalah kejayaan dan keuntungan yang tiada taranya. Dengan kesulitan, akal akan berfikir mencari jalan keluar. Sesungguhnya ukuran kemajuan yang sebenarnya adalah darjat kedekatan seseorang pada Allah.
72 الْمُؤَخِّرُ Al-Mu’akhkhir Yang Maha Mengakhirkan
Allah Ya Muakhkhir Yang Maha Mengakhirkan mampu mengakhirkan atau melambatkan sesuatu permintaan hambaNya. Dia memberi pada masa yang paling sesuai dan tepat untuk hambaNya dan keputusanNya penuh dengan kasih sayang dan kebijaksanaan.
73 الأوَّلُ Al-Awwal Yang Maha Awal
Allah Ya Awwal telah sedia ada wujud dan kewujudanNya tiada permulaan. Tidak ada sesuatu pun yang mendahuluiNya. Dan kedahuluan Allah itu bersifat mutlak bukan kedahuluan yang relatif (nisbi). Segala sesuatu selain Allah adalah ciptaan Allah, semuanya baru ada setelah sebelumnya tiada.
74 الآخِرُ Al-Ākhir Yang Maha Akhir
Allah Ya Akhir Yang Maha Akhir, ketika semua makhluk musnah, Dia tetap ada kekal abadi dan tiada pengakhirannya. Dia merupakan tujuan dan tempat bergantung yang seluruh makhluk menuju kepadaNya dengan ibadah, harapan, rasa takut dan seluruh keperluan mereka.
75 الظَّاهِرُ Al-Ẓāhir Yang Maha Nyata
Allah Ya Zahir Yang Maha Nyata menegaskan kepada kita Dia nyata, dapat dilihat dan sesungguhnya hadir. Kehadiran Dia Ya Zohir kelihatan jelas pada setiap sesuatu yang dilihat. Disebalik keindahan dan keharmonian yang menakjubkan itu membuktikan adanya Allah Yang Maha Pencipta. Dia seperti cahaya yang membuat segalanya dapat dilihat, tetapi cahaya yang cukup hebat itu membuatnya tidak terlibat, tetapi Ya Zohir nyata dalam setiap sesuatu.
76 الْبَاطِنُ Al-Bāṭin Yang Maha Tersembunyi
Allah Ya Batin yang Maha Ghaib sehingga kewujudanNya tidak mampu dilihat oleh fikiran manusia yang menjadi silau dan tumpul. Kita harus merenung sifat-sifat Allah dalam makhluk sekeliling kita tapi dilarang membayangkan DzatNya kerana ianya di luar kemampuan akal kita untuk memikirkan.
77 الْوَالِي Al-Wālī Yang Maha Memerintah
Allah Ya Waali Yang Maha Memerintah dan Maha Memberi, Dia memerintah dan mengawal alam semesta mengikut kehendakNya. Seluruh makhluk dikawal oleh ilmu dan kekuasaan Allah, dibawah kasih sayang, perlindungan dan belaianNya. Dia Ya Waali melindungi hamba-hambaNya daripada setiap bencana.
78 الْمُتَعَالِي Al-Muta’ālī Yang Maha Tinggi
Allah Ya Muta'ali Yang Maha Tinggi yang ketinggianNya tidak terbatas dan akal manusia tidak dapat membayangkannya. Dia yang paling tinggi DzatNya, martabatNya, kedudukanNya, kemuliaanNya, kekayaanNya, kasih sayangNya dll.
79 الْبَرُّ Al-Barr

Yang Maha Dermawan

Allah Ya Barr Yang Maha Baik dan Dermawan menganugerahkan pelbagai jenis kebaikan kepada makhlkNya walaupun mereka derhaka dan tidak menyembahNya. KebaikanNya tergambar dalam sifat pemaafNya kepada hamba-hambaNya yang berdosa. Dia tidak terus menghukum, mereka diberi peluang untuk bertaubat dan diampunkan dosa-dosa itu.
80 التَّوَابُ Al-Tawwāb

Maha Penerima Taubat

Allah Ya Tawwab Yang Maha Penerima Taubat memberi dan menerima taubat hambaNya tanda kehalusan dan kelembutanNya kepada hamba-hambaNya. Allah tidak melihat kepada kesalahan dan keburukan perbuatannya, tetapi hamba itu perlu menyesali semua perkara buruk yang dilakukan dengan azam tidak mahu mengulangi dan takut dengan dosa tersebut. Allah bukan hanya menerima taubat, setelah hambaNya disucikan dari dosa, dialirkanNya kasih sayangNya dan cintaNya Ya Rahman Ya Rahim Ya Wadud. Allah Ya Tawwab seringkali memberi taubat dengan memberi anugerah musibah kepada hamba-hamba yang lupa memohon taubat, tetapi hukuman itu cukup ringan berbanding dengan Azab di akhirat kelak. Oleh itu hendaklah seseorang itu syukur dalam musibah.
81 الْمُنْتَقِمُ Al-Muntaqim Maha Penyiksa
Allah Ya Muntaqim Yang Maha Penyiksa hanya menyiksa hamba-hambaNya yang sudah keterlaluan membuat kerosakan dan kezaliman di bumi ini serta menyengutukan Allah. Namun begitu, sebelum turun azab, Allah akan beri peringatan demi peringatan agar mereka bertaubat demi kasih sayang dan rahmatNya. Tetapi ketika mereka berterusan melakukan dosa dan tidak menghiraukan peringatan Allah dan merasa gembira dengan kejahatan itu, maka akan turunlah azab Ya Muntaqim. Bagi sesiapa yang memohon ampun segera setelah menyedari kesilapan, seringkali Allah mengampuninya tanpa menghukumnya.
82 العَفُوُّ Al-‘Afūw Yang Maha Pemaaf
Allah Ya ‘Afūw Yang Maha Pemaaf menghapuskan dan memadam dosa sama sekali. Allah suka memaaf dan menghapuskan dosa. Dia tidak menghukum segera hamba-hambaNya yang melakukan dosa agar mereka bertaubat dan memohon maaf kepada Allah. Walaupun neraka itu wujud, tetapi jalan untuk menyelamatkan diri terlalu banyak.
83 الرَّؤُوفُ Al-Ra’ūf Yang Maha Pengasih
Allah Ya Rouf Yang Maha Pelimpah Kasih mencipta alam ini dengan penuh limpahan kasih sayang. KasihNya diberikan kepada seluruh makhluk walaupun makhluk itu tidak berterima kasih kepadaNya. Tetapi kasih sayangNya seringkali dalam bentuk ujian dan penderitaan bagi membersihkan hamba-hambaNya supaya mereka dapat menerima cahaya dan kasihNya.
84 مَالِكُ الْمُلْكِ Mālik-ul-Mulk Yang Maha Mempunyai Kerajaan
Allah Ya Maalikal Mulki Yang Maha Memiliki Kerajaan memiliki kerajaan alam semesta di langit dan di bumi, di dunia dan di akhirat. Dia tidak merasa berat menguruskan dan mentadbir dan tidak memerlukan bantuan. Allah adalah Raja yang sebenarnya dan Dia memerintah dengan penuh keadilan. Di dunia Dia Ya Malikal Mulki memilih hamba-hambaNya menjadi raja bagi pihakNya dan Allah mengambilnya kembali dengan menurunkan takhtanya bila tiba masanya.
85 ذُوالْجَلاَلِ وَالإكْرَامِ Dhul-Jalāli-wal-Ikrām Yang Maha Memiliki Kebesaran Serta Kemuliaan
Allah Ya Dzal Jalaali Wal lkram Yang Maha Memiliki Kebesaran Dan Kemuliaan, semua kesempurnaan, kemuliaan dan rahmat datang dariNya. Dia mampu memberi dan mengambilnya kembali.
86 الْمُقْسِطُ Al-Muqsiṭ Yang Maha Adil
Allah Ya Muqsit Yang Maha Adil mencipta dengan penuh keseimbangan dan mengkagumkan, harmoni dan seimbang penuh kesempurnaan. KeadilanNya memberikan kekayaan kepada sebahagian manusia dan kemiskinan kepada sebahagian yang lain, begitu juga memberi kelemahan kepada sebahagian yang lain dan kekuatan kepada yang lain. Dia memberi anugerahNya kepada setiap hambaNya dengan tepat. Allah Ya Muqsit juga membalas setiap amal kebaikan, budi pekerti yang mulia dengan ganjaran yg penuh adil dan setimpal.
87 الْجَامِعُ Al-Jāmi’

Maha Pengumpul

Allah Ya Jami' Yang Maha Menghimpun akan menghimpunkan orang-orang yang telah mati dan dihidupkan kembali untuk dihitung oleh Allah Ya Muhsi, dihisab oleh Ya Hasib ,dibalas oleh Ya Muntaqim dan diadili oleh Ya Adl. Di hari penghimpunan, manusia akan sedar siapakah Allah sebenarnya yang mana di dunia ini mereka tidak takuti akan azabNya, tidak bersyukur akan nikmatNya. Di hari penghimpunan ini, manusia yang sentiasa ingat Allah akan mendapat perhatian istimewa dariNya.
88 الْغَنِيُّ Al-Ghanīy

Yang Maha Kaya

Allah Ya Ghaniyy Yang Maha Kaya memiliki seluruh kekayaan langit dan bumi. Kekayaan yang ada pada orang kaya itu adalah kekayaan Allah. Dia mampu memberi kekayaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan mengambil kembali kekayaan tersebut. Kekayaan Allah tidak mampu dilihat dengan mata kasar kerana yang nampak itu hanyalah terlalu sedikit dari kekayaanNya yang ada.
89 الْمُغْنِي Al-Mughnī Yang Maha Mengkayakan
Allah Ya Mughni Yang Maha Pemberi Kekayaan suka memberi kekayaan kepada hamba-hambaNya. Kekayaan Allah bukan hanya dalam bentuk harta benda, tetapi juga Dia mampu memberi kekayaan jiwa sehingga sesiapa yang dikurniakan kekayaan jiwa, mereka akan menjadi seorang yang redha dan tenang dalam hidupnya.
90 اَلْمَانِعُ Al-Māni’ Yang Maha Mencegah
Allah Ya Maani' yang maha mencegah sentiasa mencegah hamba-hamba pilihanNya daripada melakukan kemaksiatan kepadaNya. Allah Ya Maani' seringkali mencegah dengan cara memberi ujian kesusahan, kesempitan dan kesakitan ketika hambaNya lalai kepadaNya.
91 الضَّارَّ Al-Ḍārr Maha Pemberi Derita
Allah Ya Dhoorru Yang Maha Pemberi Derita mampu memberi penderitaan kepada hamba-hambaNya bagi mengingatkan mereka tentang kesilapan yang dilakukan. Allah memberi hukuman kepada hambaNya yang memohon taubat kepadaNya sebagai pengajaran dan ia merupakan sebahagian dari proses penyucian dari dosa yang telah dilakukan. Allah Ya Dhooru bukan memberi penderitaan kerana benci kepada hamba-hambaNya, tetapi lebih kepada hukuman dan pelajaran kepada hambaNya agar mereka insaf dengan kesalahan yang dilakukan.
92 النَّافِعُ Al-Nāfi’ Maha Pemberi Manfaat
Allah Ya Naafi' Yang Maha Pemberi Manfaat mampu memberikan manfaat kepada hamba-hambaNya. Setiap manfaat yang diterima oleh setiap manusia datangnya dari Allah Ya Naafii'. Dia mampu memberi manfaat dan mampu menarik kembali manfaat dengan memberikan mudarat.
93 النُّورُ Al-Nūr Maha Pemberi Cahaya
Allah Yaa Nuur Yang Maha Bercahaya mampu memberikan cahaya kepada jiwa manusia yang mana jiwa yang mendapat cahaya Allah akan pasti mendapat bimbingan dan cinta Allah. Allah juga memberikan cahayaNya kepada kehidupan di bumi dengan memancarkan cahaya An—NuurNya melalui matahari. Dialah sumber semua cahaya di seluruh alam semesta ini.
94 الْهَادِي Al-Hādī Maha Pemberi Petunjuk
Allah Ya Haadi Yang Maha Memberi Petunjuk memberi petunjuk dan hidayah kepada hamba-hamba pilihanNya. Dia sahaja yang mampu memberi petunjuk, bimbingan dan hidayah kepada jalan yang lurus. Sekiranya Ya Haadi tidak memberikan hidayah, tiada siapa yang mampu memberinya, maka akan sesatlah seseorang yang tidak dibimbing Allah Ya Haadi.
95 الْبَدِيعُ Al-Badī’

Maha Pencipta

Allah Ya Badi, yang maha pencipta keindahan mencipta alam ini penuh dengan keindahan dan kecantikan. Manusia harus merenungi keindahan ciptaan Allah dan memuja memuji Allah atas kehebatanNya.
96 اَلْبَاقِي Al-Bāqī Yang Maha Kekal
Allah Ya Baaqi Yang Maha Kekal akan tetap kekal, tidak akan hancur dan musnah. Tetapi sebaliknya makhluk ciptaanNya akan pasti hancur dan musnah satu hari nanti dan bersifat sementara.
97 الْوَارِثُ Al-Wārith Yang Maha Mewarisi
Allah Ya Waarith Maha Mewarisi segala apa yang ada di alam semesta ini kerana Dialah yang memiliki dan semuanya akan kembali kepadaNya. Dia Ya Waarith berhak mewariskan apa sahaja kepada siapa sahaja. Allah Ya Waarith mewariskan syurga kepada hambaNya yang bertaqwa dan sebaliknya Dia mewariskan hukuman kepada hambaNya yang melakukan kejahatan.
98 الرَّشِيدُ Al-Rashīd Yang Maha Bijaksana
Allah Ya Rashid Yang Maha Pintar, pandai dan cerdik dalam memberi petunjuk kepada hambaNya ke arah kebaikan dan dengan kepintaranNya Ya Rashid menyelesaikan segala permasalahan makhlukNya. Ya Rashid merupakan guru terhebat dan tertinggi yang mengajar kita menghadapi kehidupan ini mengikut kehendakNya dan seterusnya mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
99 الصَّبُورُ Al-Ṣabūr

Yang Maha Sabar

Allah Ya Sobur Maha Sabar dalam segala tindakanNya. Ya Sobur tidak bersifat tergesa-gesa dan terburu-buru dalam mengambil apa jua tindakan terhadap makhlukNya. Manusia yang melakukan dosa diberi peluang oleh Allah untuk insaf dan bertaubat, mereka tidak dihukum serta merta. Segala yang Allah Ya Sobur lakukan tepat pada waktunya dengan cara yang sebaiknya dan sepatutnya.

Video Asmau’ul Husna

Video Youtube lantunan lagu / zikir Asmau’ul Husna (dengan lirik) oleh Kumpulan Hijjaz boleh ditonton di sini, video versi Sharifah Khasif pula boleh didapati di sini, Evie Tamala di sini dan video Maghfirah Hussein di sini.

Asmau’ul Husna pdf

Poster 99 Nama Allah Alma’ul Husna seperti gambar di atas boleh di muat turun dalam bentuk pdf resolusi tinggi di sini.

Alma’ul Husna, makna serta penerangannya juga boleh didapati dalam bentuk pdf. Pembaca boleh memuat turun fail pdf ini yang disediakan oleh JAIPP.

Semoga maklumat tentang Asma’ul Husna 99 Nama Allah ini bermanfaat buat para pembaca.