Jambatan Angkat KTCC Terengganu

Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Terengganu Drawbridge adalah mercu tanda terbaharu negeri Terengganu. Jambatan yang mirip Tower Bridge London ini merupakan jambatan pertama seumpamanya di rantau ini dan adalah sebahagian daripada projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (Kuala Terengganu City Centre - KTCC).

Jambatan ini akan memudahkan perhubungan kenderaan antara Kuala Terengganu dan Seberang Takir disamping membolehkan kapal-kapal melintas.


Fakta Mengenai Jambatan Angkat KTCC Terengganu

Berikut adalah beberapa fakta mengenai Jambatan Angkat Terengganu:

  • Terletak di muara Sungai Terengganu yang dibangunkan sebagai Kuala Terengganu City Centre (KTCC). Ia menghubungkan Muara Selatan di sebelah Daerah Kuala Terengganu dan Muara Utara di sebelah Seberang Takir, Daerah Kuala Nerus.
  • Spesifikasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu: Panjang jambatan ini ialah 638 meter dan lebar 23 meter. Panjang bascule (daun jambatan) ialah 76 meter, merupakan yang terpanjang pernah dibina dan tingginya dari aras laut semasa air pasang adalah 12.5 meter. Jambatan ini terdiri daripada laluan jambatan, empat menara 16 tingkat dan dua skybridge.
  • Kos keseluruhan jambatan ini adalah RM248 juta.

jambatan angkat Terengganu malam

Jambatan Angkat Terengganu pada waktu malam

  • Jambatan ini merupakan jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus, tambahan kepada tiga jambatan sedia ada iaitu Jambatan Sultan Mahmud (Kuala Terengganu - Bukit Tunggal), Jambatan Sultan Ismail (Pulau Rusa - Manir) dan Jambatan Pulau Sekati (Losong - Teluk Pasu).
  • Ia bakal mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud dan memendekkan masa perjalanan dari bandar raya Kuala Terengganu untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dari setengah jam kepada hanya 10 hingga 15 minit.
  • Skybridge di menara utara akan menempatkan restoran mewah yang berkapasiti 200 orang di tingkat 14. Di tingkat 13 pula disediakan ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan untuk restoran tersebut.
  • Skybridge di menara selatan pula akan menempatkan galeri dan anjung tinjau yang boleh memuatkan sehingga 200 orang pada satu-satu masa. Anjung tinjau ini membolehkan orang ramai melihat keindahan bandar raya Kuala Terengganu, khususnya pada waktu malam.

jambatan angkat Terengganu waktu siang

Terengganu Drawbridge di waktu siang

  • Ia menyediakan jalan dua hala empat lorong untuk laluan kenderaan darat, selain menempatkan laluan pejalan kaki di bahu jalan, sekali gus membolehkan pengunjung menikmati keindahan pantai dari jambatan ini.
  • Jambatan ini akan mengambil masa dua minit untuk diangkat bagi laluan kapal dan dua minit untuk diturunkan semula untuk laluan kenderaan darat. Bagaimanapun, tempoh keseluruhan selama kira-kira 20 minit diambil untuk mengawal trafik sebelum jambatan diangkat dan diturunkan semula.
  • Terdapat lebih 100 petak tempat letak kenderaan disediakan di bawah jambatan iaitu masing-masing 50 petak di bahagian utara dan 50 lagi di selatan jambatan.
  • Turut menyediakan pangkalan untuk bot dan kapal agensi kerajaan berlabuh.

jambatan angkat Terengganu fajar senja

Pemandangan Jambatan Angkat Terengganu di waktu fajar

Jambatan ikonik Terengganu ini bukan sahaja memberi kemudahan perhubungan untuk penduduk setempat malah berpontensi menjadi tarikan pelancong untuk ke negeri Terengganu.