Bahaya Semut Charlie
Semut Charlie merupakan serangga berbisa yang sangat berbahaya. Ia berwarna belang hitam-jingga dan bersaiz kecil, dengan panjang kurang dari 1 cm dan lebar kurang 2 mm. Ia banyak ditemui di kawasan berumput, sawah padi, ladang kelapa sawit dan hutan. Semut Charlie juga dikenali sebagai semut semai, semut kayap, tomcat atau rove beetle.
Semut Charlie atau nama saintifiknya Paederus fuscipes sebenarnya bukan semut, tetapi dari spesies kumbang. Ia boleh terbang di udara dan berjalan atas air. Charlie tidak menggigit dan tidak juga menyengat, namun cecair badannya yang mengandungi toksin amatlah berbisa!
Kenapa Charlie Berbahaya?
Racun yang dipanggil ‘paederin’ daripada semut Charlie ini sangat toksik. Toksinnya berkali ganda lebih berbisa daripada bisa ular tedung.
Toksin ini akan menyebabkan kesan keradangan yang serius jika terkena pada kulit dan mata.
Kesan Semut Charlie
Bisa semut Charlie akan menyebabkan radang pada kulit yang dinamakan paederus dermatitis atau dermatitis linearis, dan conjunctivitis jika terkena mata. Tanda-tanda awal ialah kulit menjadi kemerahan, rasa pedih seperti terbakar dan gatal. Ia kelihatan seperti ruam merah dan ruam ini akan melepuh (bertukar menjadi gelembung) selepas 12-36 jam.
Anggota badan yang lazim terkena bisa Charlie ialah muka, leher, bahu dan lengan. Biasanya mangsa akan sedar wujudnya tanda radang semasa bangun tidur di waktu pagi.
Radang ini akan mengambil masa beberapa minggu untuk pulih, dan akan meninggalkan parut kekal pada mangsa selepas sembuh.
Cara Elakkan Serangan Semut Charlie
Berikut adalah cara mengelakkan diri dari diserang semut Charlie.
- Tutup pintu dan tingkap terutamanya pada waktu malam.
- Charlie tertarik kepada cahaya lampu (terutamaanya lampu kalimantang) pada waktu malam. Jadi, elakkan memasang lampu berdekatan dengan tempat tidur pada waktu malam.
- Pasang jaring yang boleh menghalang serangga daripada masuk ke dalam rumah. Bagi anak kecil seeloknya tidur dalam kelambu.
- Pakai seluar panjang dan baju lengan panjang untuk perlindungan.
- Ubat gegat dikatakan berkesan menghalau Charlie. Letakkan dalam bilik berhampiran tingkap dan katil.
- Jika anda terjumpa semut Charlie, pertama sekali jangan sentuh! Jika ia hinggap atau merayap pada badan anda, jangan tepuk, pukul, lenyek, picit atau tepis. Ingat, inilah satu-satunya cara bisa/toksin di dalam badannya mengena badan anda. Bila badannya pecah disebabkan dipukul, maka bisanya terkena tangan / badan anda.
- Cara yang selamat ialah dengan meniup/menghembus saja hingga ia terbang lari atau alirkan air ke atas semut tersebut hingga ia terjatuh.
Rawatan Bila Terkena Bisa Semut Charlie
Sekiranya anda terkena toksin semut Charlie, segeralah mencuci kulit yang terkena toksin dengan air yang banyak dan sabun. Ini membolehkan sebahagian besar toksin dinyahkan dari kulit dan mengelakkan toksin dari merebak ke anggota badan yang lain (melalui sentuhan).
Jangan letak krim, balm, bedak atau minyak ubat gigitan serangga di bahagian yang terkena Charlie. Dan jangan garu!
Segera ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Gunakan ubat yang diberi oleh doktor sahaja untuk rawatan.
Kenapa Charlie Serang Manusia?
Semut Charlie tidak suka mengganggu manusia dan hidup aman damai mendiami kawasan yang lembab dan berdekatan dengan sumber air, seperti di kawasan paya, ladang, sawah padi dan persisiran tasik. Pada waktu siang, mereka merayap di atas tanah seperti semut, manakala menjelang malam menjadi lebih aktif dan merayau terutamanya berdekatan lampu.
Gangguan kepada habitat Charlie (contohnya sawah padi) menjadi faktor utama yang mendorong Charlie untuk masuk ke kawasan penempatan manusia. Aktiviti pembajakan, penuaian padi dan pembakaran jerami mengganggu habitat mereka, menyebabkan Charlie terbang untuk menyelamatkan diri ke kawasan perumahan manusia.
Charlie juga berpindah ke kawasan yang lebih kering (iaitu kawasan kediaman) bila musim hujan atau banjir.
Cara Menghapuskan Semut Charlie
Setakat ini, tiada cara yang berkesan untuk menghapuskan Charlie atau menghalang mereka daripada menceroboh kawasan penempatan manusia. Semburan racun hanya dapat bertahan untuk beberapa hari sahaja sebelum gelombang serangan seterusnya muncul.
Semoga info mengenai semut Charlie ini bermanfaat buat para pembaca.