Tanda Dan Cara Mencegah Jangkitan COVID-19 (Novel Coronavirus)
Tanda-tanda dan langkah-langkah melindungi diri daripada COVID-19, yakni penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Novel Coronavirus.
Coronavirus (CoV) adalah salah satu keluarga besar virus yang lazimnya menjangkiti saluran pernafasan. Ia merupakan virus yang menyebabkan pelbagai penyakit dari selsema hingga ke penyakit yang lebih teruk seperti Middle East Respiratory Syndrome (MERS) dan Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).
[Terkini] Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan penyakit yang disebabkan oleh Novel Coronavirus sebagai COVID-19, singkatan kepada Corona Virus Disease 2019.
[Berkaitan] Live Chart Status Terkini Jumlah Kes COVID-19 di Malaysia
Novel Coronavirus pula merujuk kepada spesies baru virus dalam famili coronavirus yang belum pernah ditemui oleh manusia. Novel Coronavirus yang bermula di Wuhan, Wilayah Hubei, China ini dinamakan sebagai 2019-nCoV.
Virus ini asalnya datang dari haiwan dan ia boleh merebak sesama haiwan dan manusia.
Simptom-simptom Jangkitan Novel Coronavirus
Jangkitan virus ini adalah sama seperti jangkitan selesema yang lain dan komplikasinya lebih teruk pada golongan yang lemah imuniti badan.
Berikut adalah tanda-tanda jangkitan Novel Coronavirus:
- Tanda-tanda penyakit selesema seperti batuk, sakit tekak, sakit kepala
- Demam
- Kesukaran bernafas
- Batuk
Setakat ini tiada vaksin untuk mencegah dari jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV). Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Langkah Pencegahan Jangkitan Novel Coronavirus
Berikut dikongsikan langkah-langkah pencegahan untuk melindungi diri anda, keluarga dan orang lain daripada jangkitan virus Novel Coronavirus.
- Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer). Sila rujuk cara mencuci tangan dengan betul.
- Tutup mulut dan hidung dengan tisu/sapu tangan ketika batuk atau bersin. Buangkan tisu ke dalam bakul sampah. Jika tidak mempunyai tisu, batuk atau bersin ke bahagian dalam siku.
- Semasa dalam tempoh lawatan ke tempat-tempat yang berlaku wabak ini (jika perjalanan tidak dapat dielakkan), amalkan langkah-langkah berikut:
- Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitizer).
- Elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.
- Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala.
- Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan.
- Elakkan dari mengambil (iaitu memakan atau meminum) sebarang produk haiwan yang mentah / tidak dimasak dengan sempurna seperti telur,susu, daging & sebagainya
- Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut. Begitu juga, maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.
Maklumat Lanjut Mengenai Novel Coronavirus
Untuk maklumat lanjut, status dan statistik terkini wabak Novel Coronovirus 2019-nCoV, sila layari Facebook page CPRC Kebangsaan - Kementerian Kesihatan Malaysia.
Untuk sebarang pertanyaan berkenaan Novel Coronavirus (2019-nCoV) anda boleh terus berhubung ke Crisis Preparedness And Response Centre (CPRC) Kebangsaan samada melalui talian telefon hotline 03-88810200, 03-88810600 dan 03-88810700 atau emel cprc@moh.gov.my.
Talian CPRC Kebangsaan KKM beroperasi setiap hari bermula jam 8.00 pagi - 5.00 petang.
Semoga perkongsian maklumat mengenai tanda-tanda dan pencegahan jangkitan Novel Coronavirus ini bermanfaat buat para pembaca, khususnya kepada para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia.