Lafaz Takbir Raya Aidilfitri Dan Aidiladha
Panduan lafaz Takbir Raya dalam teks Arab dan transliterasi Rumi berserta maksud.
Takbir adalah mengagungkan Allah dengan menyebut kalimah "Allahu Akbar" yang bermaksud "Allah Maha Besar" dengan suara yang kuat dan bersemangat.
Takbir raya versinya lebih panjang dan ia diucapkan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Waktu Untuk Takbir Raya
Masa untuk takbir raya adalah seperti berikut:
- Hari Raya Aidilfitri
Disunatkan bertakbir setelah terbenam matahari pada malam hari raya, yakni masuk waktu Maghrib 1 Syawal hinggalah bermula solat Hari Raya Aidilfitri.
- Hari Raya Aidiladha
Bagi bukan jemaah haji: Disunatkan bertakbir selepas setiap solat fardhu dan solat sunat bermula dari waktu Subuh Hari Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga (13 Zulhijjah).
Bagi jemaah haji: Disunatkan bertakbir mulai masuk waktu Zuhur pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga masuk waktu Subuh 13 Zulhijjah. Namun jika mereka telah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
Lafaz Takbir Raya
Berikut adalah lafaz takbir raya dalam teks bahasa Arab dengan makna. Disertakan juga transliterasi dalam teks Rumi sebagai panduan sebutan.
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Allāhu akbar, Allāhu akbar, Allāhu akbar, lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbaru wa lillāhil ḥamd. (3X)
Allah Maha besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Allah.
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً واَصِيْلاً
Allāhu akbaru kabīrā, walḥamdu lillāhi kathīrā, wa subḥānallāhi bukratan wa aṣīlā.
Allah Maha Besar sebesar-besarnya, dan segala pujian hanya bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang.
لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَلَانَعْبُدُ اِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ, وَلَوْ كَرِهَ الكَا فِرُونَ
Lā ilāha illallāhu wa lā na’budu illā iyyāhu mukhliṣīna lahuddīna wa law karihal kāfirūn.
Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah selain-Nya dengan pengabdian yang ikhlas, sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir.
لَااِلٰهَ اِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّجُنْدَهُ وَهَزَمَ الْاَحْزَابَ وَاحْدَهُ
Lā ilāha illallāhu waḥdah, ṣadaqa wa’dah, wa naṣara ‘abdah, wa a’azza jundahu wa hazamal aḥzāba waḥdah.
Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa, yang menepati janji-Nya, yang memberi kemenangan kepada hamba-Nya dan memuliakan tentera-Nya dan mengalahkan tentera Ahzab sendirian.
لَااِلٰهَ اِلَّااللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Lā ilāha illallāhu wallāhu akbar, Allāhu akbaru wa lillāhil ḥamd.
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Allah.
Semoga lafaz takbir raya dengan erti dan transliterasi dalam Rumi ini bermanfaat buat para pembaca.