Permohonan Dan Semakan KWSP i-Sinar [Terkini]
Maklumat terkini mengenai kriteria kelayakan, cara memohon dan perincian kemudahan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
i-Sinar ialah kemudahan pengeluaran KWSP Akaun 1 secara bersasar bagi meringankan beban aliran tunai serta memenuhi keperluan ahli KWSP dalam menghadapi cabaran semasa akibat wabak COVID-19. Ia merupakan kesinambungan kepada program i-Lestari (pengeluaran simpanan Akaun 2) yang telah dilancarkan KWSP pada bulan Mac 2020.
[Baharu] Permohonan, Kelayakan Dan Semakan i-Citra KWSP
Pendekatan i-Sinar KWSP dibuat dengan mengambilkira keperluan membantu ahli menghadapi cabaran masa kini, tanpa mengabaikan kepentingan mengekalkan simpanan untuk persaraan di masa depan.
Syarat Kelayakan i-Sinar KWSP
Siapa yang layak memohon i-Sinar? Ahli yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar ialah ahli yang belum mencapai umur 55 tahun, dan terbahagi kepada dua kategori, iaitu:
✦ Kategori 1
Ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang hilang pekerjaan, yang diberi notis cuti tanpa gaji, yang sudah lama tidak mencarum atau suri rumah.
Kriteria bagi Kategori 1 adalah seperti berikut:
- Ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan: ATAU
- Ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% atau lebih selepas 1 Mac 2020.
Bagi kategori ini:
- Tiada dokumen sokongan diperlukan;
- Kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP;
- Ahli hanya perlu memohon secara online mulai 21 Disember 2020.
Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan bulan Januari 2021.
✦ Kategori 2
Kategori ini adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% atau lebih (termasuk pengurangan gaji dan elaun atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.
Ahli perlu mengemukakan dokumen sokongan iaitu:
- Slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan
- Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan atau tuntutan kerja lebih masa.
Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan dipertimbangkan.
Permohonan bagi Kategori 2 boleh dibuat secara dalam talian melalui mulai 11 Januari 2021.
Jumlah Pengeluaran i-Sinar
Jumlah yang layak dikeluarkan menerusi i-Sinar adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 1:
- Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5.000.
- Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10% atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.
Tarikh Dan Cara Permohonan i-Sinar KWSP
Ahli yang layak boleh membuat permohonan secara online melalui portal i-Sinar (isinar.kwsp.gov.my) mulai:
- 21 Disember 2020 sehingga 30 Jun 2021 bagi Kategori 1
- 11 Januari 2021 sehingga 30 Jun 2021 bagi Kategori 2
Permohonan i-Sinar hanya boleh dibuat secara online di laman web isinar di pautan:
Untuk melancarkan proses permohonan i-Sinar, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun di kios atau kaunter KWSP.
Semakan i-Sinar
Semakan status permohonan boleh dibuat dalam masa dua hingga tiga minggu selepas pemohonan dikemukakan.
- Untuk Kategori 1, semakan boleh dibuat mulai 4 Januari 2021.
- Untuk Kategori 2, semakan boleh dibuat mulai 8 Februari 2021 jam 8:00 pagi.
Pemohon boleh menyemak status secara online menerusi laman i-Sinar: Semakan Status di pautan:
https://isinar.kwsp.gov.my/check-status
Tarikh Bayaran i-Sinar
Pembayaran pertama i-Sinar akan dibuat pada bulan berikutnya selepas permohonan diluluskan.
Bayaran berikutnya akan dibuat secara bulanan (dalam tempoh sehingga enam bulan) bergantung kepada jumlah yang dipohon.
Bayaran akan dibuat mengikut kaedah bayaran yang dipilih semasa permohonan i-Sinar, iaitu secara pengkreditan terus ke akaun bank ahli atau secara Arahan Bayaran. Arahan Bayaran (PO) yang perlu diambil di cawangan KWSP pilihan setiap kali menerima bayaran, dan hanya boleh ditunaikan di Bank RHB.
Penggantian Semula Pengeluaran i-Sinar
Pengeluaran melalui kemudahan i-Sinar merupakan pendahuluan, jadi ia perlu diganti semula. Namun ini bukanlah bermaksud ahli perlu membayar balik secara tunai kepada KWSP.
Penggantian semula dilakukan dengan 100% caruman baharu di masa hadapan akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1. Setelah jumlah amaun yang dikeluarkan diganti semula, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70% (Akaun 1) dan 30% (Akaun 2).
Semoga info mengenai pengeluaran i-Sinar KWSP ini bermanfaat buat para pencarum KWSP/EPF yang mengalami kesukaran ekonomi ketika ini. Maklumat lebih lanjut serta perincian mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dikemaskini apabila diumumkan KWSP.
Sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848.