Kalkulator RFM (Relative Fat Mass) Online
Indeks Jisim Lemak Relatif atau Relative Fat Mass (RFM) menganggarkan peratusan lemak badan berdasarkan nisbah ukuran tinggi dan lilitan pinggang. RFM lebih mudah untuk diperolehi kerana ia hanya memerlukan pita pengukur (dan tidak memerlukan penimbang berat). Ia dikatakan dapat menganggar peratusan lemak badan dan mengenal pasti individu yang gemuk dengan lebih tepat berbanding dengan kaedah indeks jisim badan Body Mass Index (BMI).
Kaedah BMI, walaupun sangat popular, mempunyai satu kelemahan ketara iaitu ia tidak membezakan antara jisim lemak dan jisim bukan lemak. Jadi, ahli bina badan yang penuh dengan otot-otot akan dianggap gemuk, manakala seseorang yang kelihatan kurus (tetapi mempunyai peratusan lemak berlebihan) akan dianggap normal oleh BMI.
RFM dapat ditentukan dengan hanya menggunakan pita pengukur dan matematik mudah. Dan ianya sesuai untuk orang dewasa berumur 20 tahun ke atas.
Cara Kira Relative Fat Mass (RFM)
Pertama, ambil pita pengukur dan catat ketinggian dan lilitan pinggang anda. Untuk mendapatkan hasil terbaik untuk ukuran pinggang, letakkan pita di bahagian atas tulang pinggul dan balutkannya di seluruh badan anda. Anda boleh mengukur menggunakan mana-mana unit yang anda mahukan: kaki, inci, meter, sentimeter, dll., tetapi pastikan kedua-dua pengukuran tersebut menggunakan unit yang sama.
Kira RFM menggunakan formula berikut. Formula RFM adalah berbeza mengikut jantina:
- RFM untuk lelaki dewasa = 64 - 20 x (Ketinggian / Lilitan Pinggang)
- RFM untuk wanita dewasa = 76 - 20 x (Ketinggian / Lilitan Pinggang)
Keputusan yang terhasil adalah dalam bentuk peratusan lemak badan. Seseorang dikelaskan sebagai gemuk/obese bila peratusan lemak badan adalah 32% atau lebih bagi wanita dan 25% atau lebih bagi lelaki.
Kalkulator Relative Fat Mass (RFM)
Sekiranya anda tidak mahu mengira, di bawah ini kami kongsikan kalkulator RFM online untuk kemudahan para pembaca. Anda tidak perlu keluarkan kalkulator, hanya masukkan jantina, ukuran ketinggian dan lilitan pinggang ke dalam kotak yang disediakan, kemudian tekan butang "Calculate" untuk dapatkan Relative Fat Mass anda.
Semoga info tentang cara mengira RFM ini dapat membantu anda memantau peratusan lemak badan agar sentiasa berada pada tahap normal.
Penyelidikan menunjukkan bahawa kegemukan atau obesiti (yakni pengumpulan lemak badan yang berlebihan) merupakan antara faktor paling kritikal bagi banyak penyakit tidak berjangkit kronik seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, angin ahmar dan kanser.